suria

Najib Lawat Bengkel Usahawan Tekun Di Kg Baru

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan salah seorang usahawan yang menerima manfaat Tekun, Rozalfikar Abd Rahman di sebuah restoran di Kampung Baru, di sini, Khamis.

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melawat Bengkel 2H Auto Workshop, yang dikelolakan pengusaha Orang Kurang Upaya (OKU), di Kampung Baru di sini.

Berbaju kemeja putih, Najib tiba di premis berkenaan pada kira-kira 1 tengah hari.

Dalam entri terbaru dalam Facebooknya, Najib menulis: "Sebentar tadi saya melawat Bengkel 2H Auto Workshop yang dikelolakan oleh Zaharul, antara pengusaha OKU paling berjaya di Kampung Baru".

Najib berkata bengkel itu telah menerima manfaat daripada Program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) yang bermatlamat untuk membantu golongan Bumiputera memulakan atau memajukan perniagaan mereka.

Terdapat empat keping gambar dimuat naik di dalam Facebook itu, antaranya ketika beliau sedang diberi penerangan oleh pengusaha bengkel, melihat kenderaan yang dibaiki di situ selain bergambar bersama pengusaha dan pekerja bengkel berkenaan yang kebanyakannya terdiri daripada OKU.

Sementara itu, Najib dalam satu lagi entri dalam Facebooknya, turut memaparkan gambar-gambar beliau sedang menikmati makan tengah hari bersama-sama beberapa pengusaha Tekun di Restoran Matahari, Kampung Baru.

OKU, Kampung Baharu

Artikel Berikut

Artikel Lain