suria

1.72 Juta Guna e-Filing - LHDN

PETALING JAYA: Sebanyak 1.72 juta pembayar cukai yang menghantar Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) menerusi kemudahan e-Filing bagi taksiran cukai 2014 sehingga petang Rabu.

Pegawai Perkhidmatan Pelanggan, Jabatan Khidmat Korporat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Masrun Maslim berkata, jumlah itu melibatkan pelbagai kategori pembayar cukai seperti individu makan gaji, individu berniaga, syarikat dan majikan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 1.3 juta merupakan borang cukai pendapatan bukan perniagaan (BE).

“Setakat 2.30 petang hari ini (Rabu), jumlah keseluruhan menerusi sistem e-Filing adalah 1.72 juta. Ia mencatatkan peningkatan 10.47 peratus berbanding 1.56 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Bagi cukai pendapatan individu iaitu borang BE, ia menunjukkan peningkatan 3.86 peratus daripada 1.25 juta kepada 1.3 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Masrun berkata, peningkatan bilangan pembayar cukai itu disebabkan sistem e-Filing yang memudahkan berbanding menghantar borang cukai pendapatan secara manual.

Selain itu, tempoh lanjutan untuk menggunakan kemudahan itu juga membantu kepada trend peningkatan.

“Sejak 2011, kita berikan tambahan masa kepada orang ramai bagi menggalakkan mereka menggunakan sistem e-filing.

“Sebagai contoh, Borang BE secara manual perlu dikemukakan pada 30 April ini tetapi melalui sistem e-Filing ia dilanjutkan sehingga 15 Mei,” katanya.

Tambah Masrun, tempoh pemprosesan bayaran balik cukai terlebih bayar lebih singkat menggunakan sistem elektronik iaitu 30 hari bekerja berbanding 90 hari bekerja bagi borang secara manual.

Ditanya mengenai maklum balas orang ramai, Masrun berkata, ramai yang memberitahu penggunaan sistem e-filing adalah jauh lebih mudah berbanding manual.

“Kita juga menerima aduan mengenai masalah pop-up blocker tetapi kita sudah memberikan garis panduan untuk mengatasinya, di laman web dan sebaran melalui media sosial.

“Ia merupakan proses memupuk kesedaran secara berterusan. Kita akui kita menggunakan paparan yang baharu pada tahun ini menyebabkan orang ramai belum membiasakannya.

“Saya percaya masalah ini tidak timbul lagi pada tahun depan. Sekarang pun aduan mengenai pop-up blocker sudah berkurangan berbanding sebelum ini,” katanya.

Kemudahan e-Filing merupakan aplikasi percuma yang disediakan oleh LHDN untuk memudahkan pembayar cukai melengkap, mengira dan mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara elektronik melalui internet.

LHDN menyasarkan empat juta pembayar cukai menggunakan kemudahan e-Filing pada tahun ini.

Masrun Maslim, LHDN, e-Filing

Artikel Lain