suria

PRK Rompin: Pengundi Masih Mencongak Antara Calon BN Atau PAS

Pengundian pada 5 Mei ini bakal menentukan siapa menjadi pilihan pengundi Parlimen Rompin.

ROMPIN: Walaupun PAS mempertaruhkan calon muda, Nazri Ahmad, tetapi masih terlalu awal untuk meramal peluang parti itu mencipta kejutan di Parlimen Rompin yang dianggap kubu kuat Umno sejak sekian lama.

Malahan, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin juga baru bermula selepas selesai proses penamaan calon pada Rabu. Tentunya tempoh sehingga 5 Mei nanti akan menentukan kedudukan PAS dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam saingan dua penjuru ini.

Menerusi tinjauan mStar Online, beberapa penduduk di kawasan ini mempunyai pendapat berbeza mengenai calon berusia 40 tahun yang diketengahkan PAS itu.

Norida Ghaffar, 40, berkata calon muda PAS pada PRK Parlimen Rompin kali ini tidak begitu popular jika dibandingkan Nuridah Salleh yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Justeru beliau memberitahu jentera PAS perlu bijak mengatur strategi sepanjang tempoh berkempen agar calon yang  diketengahkan bersifat mesra pengundi.

"Tindakan PAS menurunkan calon muda saya rasakan satu langkah bijak tapi masalahnya calon itu tidak sepopular Datuk Hasan (Arifin)  yang mewakili BN di kalangan pengundi di Rompin.

"Walaupun memegang beberapa jawatan dalam parti, dia hanya dikenali di kalangan ahli parti itu sahaja. Dia mungkin terkenal di kalangan peneroka Felda Keratong 5 tetapi kawasan Rompin ini luas, tidak semuanya ahli PAS," katanya yang bekerja di salah sebuah hotel di bandar ini.

Peneroka di Felda Keratong 8, Muadzam Shah, Che Din Mat Jais, 64 pula berkata, walaupun PAS menurunkan calon yang mempunyai latar belakang ilmu agama yang baik, hakikatnya BN pasti akan mempertahankan kerusi Parlimen ini.

"Itu kebenarannya... agak sukar bagi PAS kerana calon BN, Datuk Hasan (Arifin) mempunyai pengaruh kuat di sini. Penduduk orang asli pun ramai sukakan beliau. Beliau juga mempunyai ramai saudara mara di Rompin, tambahan pula dia pemimpin veteran. Tidak mustahil beliau akan menang.

"Kehadiran Nazri mungkin dapat mengurangkan majoriti undi yang diraih BN. Penyokong BN yang marah dengan kerajaan kerana pelaksanaan GST mungkin tidak akan mengundi calon PAS tapi mereka mungkin tidak keluar mengundi sebagai tanda protes," kata Che Din yang turut mengusahakan kedai makan bersama isterinya.

Che Din dan isterinya, Hamidah.

Hamidah Osman, 49, berpendapat pencalonan Nazri mungkin dapat mempengaruhi pengundi muda terutamanya di kawasan Felda yang kecewa dengan kerajaan kerana tidak menyediakan rumah kos rendah untuk generasi kedua terutamanya di kawasan Felda Keratong 8, Muadzam Shah.

"Sekarang ni saya tengok anak-anak muda yang dulunya sokong BN bila datang ke kedai saya beritahu suruh sokong PAS. Ini juga satu isyarat kepada BN agar melakukan sesuatu untuk mengembalikan keyakinan golongan ini terhadap kerajaan," katanya.

Jelas ibu kepada seorang anak itu, walaupun hanya mengenali Nazri menerusi beberapa ceramah yang pernah dihadiri, ketrampilan beliau pernah menjadi bualan penduduk di sini.

"Dia bagus. Saya suka dengar ceramah agamanya. Dia juga seorang yang petah bercakap. Saya harap dia akan menang pada PRK Rompin," kata Hamidah.

Nazri akan bertemu Hasan dalam pertembungan satu lawan satu pada PRK Rompin 5 Mei ini.

PRK Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor 4 April lalu.


Rompin, PRK, Nazri Ahmad, PAS, BN

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain