suria

KWSP Lancar 4 Inisiatif Tambah Baik Skim Pencen

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan empat inisiatif bagi menambah baik skim pencen sekarang termasuk menyelaraskan umur pengeluaran penuh dengan umur persaraan minimum seperti yang ditentukan oleh kerajaan.

Tiga cadangan lain adalah menyelaraskan caruman minimum dengan undang-undang umur minimum, melanjutkan bayaran dividen daripada umur 75 tahun kepada 100 tahun, dan memperkenalkan simpanan persaraan patuh Syariah sebagai tambahan kepada skim sedia ada.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata meskipun perubahan dalam umur pengeluaran penuh, pengeluaran prapersaraan sedia ada kekal tidak berubah.

"Cadangan itu bertujuan untuk menangani isu-isu berkaitan dengan simpanan persaraan yang tidak mencukupi dalam kalangan ahli KWSP bagi tempoh jangka panjang," katanya pada pelancaran perundingan ahli-ahli KWSP bagi cadangan-cadangan tersebut, di sini, Isnin.

Beliau berkata, mengikut perangkaan KWSP, 78 peratus ahli KWSP aktif pada usia 54 tidak mencapai simpanan asas pada RM196,800 dan 68 peratus ahli pada usia 54 mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000.

"Bagi isu semasa berkaitan penyelarasan umur persaraan dan umur pengeluaran, ahli-ahli akan diminta menimbang dua cadangan -- melanjutkan umur pengeluaran penuh daripada 55 kepada 60 tahun secara berperingkat dalam tempoh 15 tahun, atau mengekalkan umur pengeluaran 55 bagi simpanan sedia ada dan memperkenalkan umur pengeluaran baharu pada 60 tahun bagi caruman mereka yang bekerja selepas usia 55 tahun," katanya.

Shahril Ridza berkata, KWSP menggunakan platform perundingan bagi berbincang secara aktif bersama ahli-ahlinya kerana ia adalah cara yang baik bagi mereka untuk memahami isu-isu berkaitan dengan kesejahteraan persaraan mereka.

"Kami ingin menegaskan bahawa pada masa ini tidak ada sebarang keputusan  yang telah dimuktamadkan dan kami amat menggalakkan para ahli untuk mengambil bahagian dalam proses ini kerana maklum balas mereka sangat penting kepada kami," katanya.

Beliau berkata, cadangan itu, sekiranya menerima maklum balas yang baik daripada ahli, boleh dilaksanakan seawal tahun depan.-- Bernama 


KWSP, pencen, Shahril Ridza Ridzuan

Artikel Lain