suria

Pelajar Malaysia Sertai Karnival Kanak-Kanak Antarabangsa Di Turki

Seramai 60 pelajar sekolah rendah dan menengah yang akan mewakili negara untuk persembahan kesenian mendendangkan sebuah lagu dengan iringan gitar kecil ukulele sebelum berlepas ke Turki, Ahad.

SEPANG: Seramai 60 pelajar sekolah rendah dan menengah akan mewakili negara menampilkan persembahan kesenian pada Festival Kanak-kanak Antarabangsa 2015 di Turki. 

Festival tahunan yang bermula 20 hingga 26 April itu akan turut disertai delegasi pelajar dari 40 buah negara lain termasuk China, Indonesia dan Turki yang akan menampilkan keaslian dan seni muzik dan tari dari negara masing-masing. 

Ketua kontinjen Malaysia Umi Salbiah Abdul Rahman berkata penglibatan para pelajar yang berumur antara 10 hingga 15 tahun merupakan peserta cilik berbakat dari enam buah sekolah terpilih.  

Senarai sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Encik Buyong, Sarawak; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Samarahan Sarawak; SK Jalan Datuk Palembang, Melaka; dan dari Kuala Lumpur terdiri daripada SK Taman Tun Dr.Ismail (2), SMK Cheras dan SK Aminuddin Baki. 

"Pada penganjuran kali ini, kontinjen Malaysia akan menampilkan kelainan dalam persembahan mereka melalui pengenalan alat muzik sapelele, kombinasi alatmuzik sape dan ukulele ciptaan pemuzik Jeffrey Yong," katanya kepada media sebelum berlepas ke Turki di sini malam Ahad.

Nurul Nadia Norizham, 15, dari SMK Cheras berkata beliau teruja untuk menyertai persembahan di karnival tersebut kerana ini merupakan peluang kali pertama beliau membuat persembahan di luar negara. 

"Saya juga ingin menunjukkan keunikan sapelele di peringkat antarabangsa sekaligus mahu mempromosikan kebudayaan seni masyarakat Malaysia di sana,"katanya.

Festival Kanak-Kanak, Turki

Artikel Lain