suria

261 Lelaki 14 Wanita Merempit Ditahan

GEORGE TOWN: Polis menahan 261 lelaki dan 14 wanita yang disyaki terlibat dalam lumba haram dalam operasi di Jalan Sultan Azlan Shah di sini awal Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata kesemua mereka mula berkumpul bersama motosikal masing-masing di persimpangan Jalan Batu Uban di sini tengah malam tadi dan menunjukkan aksi lumba haram.

"Kesemua mereka yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditahan kira-kira 1 pagi. Ada yang cuba melarikan diri dengan menunggang motosikal secara melawan arus lalu lintas menyebabkan dua motosikal berlanggar sesama sendiri dan dua lelaki cedera," katanya.

Beliau berkata sebanyak 223 motosikal diperiksa dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan dari pukul 11 malam hingga 9.30 pagi itu dan 67 daripadanya disita atas pelbagai kesalahan trafik.

Sebanyak 220 saman dikeluarkan bagi kesalahan ubah suai motosikal tidak mengikut spesifikasi, tiada cukai jalan dan lesen memandu tamat tempoh, katanya.

Beliau berkata kesemua yang ditahan itu dibawa ke Mes Pegawai Jalan Tunku Kudin untuk dokumentasi dan ujian air kencing.

Polis, Lumba Haram

Artikel Lain