suria

Cubaan Culik Oleh Bekas Suami, Rosniza Kritikal

ALOR SETAR: Selepas enam tahun hidup dalam sengsara, akhirnya seorang tukang masak berjaya melepaskan diri daripada azab penderaan suaminya, namun sebaliknya berlaku selepas bercerai.

Kesengsaraan itu tidak berakhir di situ apabila kini wanita berusia 30 tahun itu sedang bertarung nyawa di hospital gara-gara cuba melepaskan diri daripada bekas suaminya sebelum dilanggar oleh kenderaan lain.

Difahamkan, Rosniza Fadzil yang bekerja di Taman Siswa, Jitra dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Lengkuas ke tempat kerja sebelum motosikal Yamaha Ego yang ditungganginya dikatakan dihimpit oleh kereta Proton Waja dipercayai dipandu bekas suaminya itu.

Mangsa dipaksa masuk ke dalam kereta itu oleh bekas suaminya dan ketika tiba di Simpang Pinang Jaya, Bukit Pinang di sini, dia bertindak terjun kerana mahu melarikan diri.

Bagaimana pun Rosniza  dilanggar lari oleh sebuah kereta lain yang melalui jalan berkenaan selepas terjun.

Seorang penjual nasi lemak, Nor Ain Abd Kadir,57, berkata, dia melihat sebuah kereta memecut laju di depan gerainya lebih kurang pukul 6.30 pagi Khamis.

"Tiba-tiba saya terdengar bunyi sesuatu dan melihat seorang wanita terbaring di atas jalan dengan tangannya memegang sehelai kain," katanya.

Katanya, beberapa orang pejalan kaki yang berada di situ cuba membantunya tetapi hanya terkedu melihat apabila sebuah lagi kereta lain melanggar wanita itu dan terus memecut lari.

Akibat kejadian tersebut, mangsa yang mengalami pendarahan pada kepala dan patah kaki kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ibu mangsa berkata, dia mengesyaki bekas suami anaknya itu cuba menculik Rosniza.

"Mereka berkahwin selama enam tahun dan dia tidak sanggup lagi didera. Mereka cuba bercerai beberapa kali sebelum ini, namun kembali bersama," jelas ibu mangsa.|

Tambahnya, bekas suami anaknya itu beberapa cuba mencederakan Rosniza.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd. Jan mengesahkan kejadian itu, sambil menambah bahawa motosikal Rosniza ditemui rosak di Bukit Inas, Bukit Pinang.

Katanya, pihak polis sedang mencari bekas suami mangsa, Rodhi Kasa, 53, dari Titi Gajah bagi membantu siasatan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

PKNS Teliti Bantahan Penduduk SS7

Artikel Lain