suria

Pencalonan Pemilihan PAS Pusat Sesi 2015/2017 Bermula 1 Mac

Asmuni Awi
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan PAS Pusat bagi sesi 2015/2017 akan menerima pencalonan bagi 27 jawatan peringkat pusat mulai 1 Mac ini apabila 188 bahagian parti itu memulakan mesyuarat agung tahunan masing-masing.

Pengerusi Pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat kali ke 61, Asmuni Awi berkata semua PAS bahagian diberi masa mengadakan mesyuarat agung tahunan bermula 1 Mac sehingga 21 April ini.

"Mereka boleh melakukan pemilihan 24 jawatan peringkat kawasan (bahagian) dan sebaik mesyuarat selesai boleh terus mengemukakan nama calon untuk pemilihan peringkat pusat," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS Pusat di sini Selasa.

Asmuni berkata tarikh akhir bagi bahagian mengemukakan pencalonan adalah pada 5 petang, 30 April dan pencalonan yang dikemukakan selepas itu tidak akan dilayan.

Beliau juga mengingatkan agar calon-calon berkempen secara sihat dan mengelak sebarang perkara yang mencemarkan kredibiliti calon lain.

"Kami benarkan berkempen secara sihat tetapi tertakhluk pada larangan yang terkandung dalam perlembagaan parti, jika ada yang didapati melanggar peraturan ini mereka terdedah kepada tindakan disiplin," katanya.

Asmuni juga mengingatkan anggota bahagian supaya menghentikan amalan  pelantikan secara 'longgokan' iaitu memilih nama tanpa menentukan jawatan mereka terlebih dahulu.

"Ini berlaku setiap kali pemilihan, pilih nama secara 'lump sum' atau 'longgokan' dulu, lepas itu mesyuarat lain baru pilih siapa nak jadi YDP (Yang Dipertua), siapa nak jadi setiausaha ... ini salah, kerana ikut peraturan mesyuarat dianggap sempurna bila semua jawatan siap ditentukan dahulu," katanya.

Asmuni juga berkata tiada sebarang syarat bagi anggota PAS yang menjadi anggota mana-mana badan bukan kerajaan termasuk Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dilarang daripada menjadi calon atau memegang sebarang jawatan dalam parti.

Pemilihan Jawatankuasa PAS diadakan setiap dua tahun dan bagi pemilihan jawatan peringkat pusat kali ini akan diadakan pada Muktamar Tahunan PAS Ke-61 yang dijangka 1 Jun ini.
Pemilihan PAS Pusat, Asmuni Awi

Artikel Lain