suria

Ayah Mahu Perjuangan Islam Sentiasa Diteruskan - Nik Abduh

KOTA BAHARU: "Ayah mahu perjuangan Islam sentiasa diteruskan," kata Nik Mohamad Abduh, anak Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengenai pesanan yang ditinggalkan Allahyarham bapanya.

Beliau berkata ketika hari-hari terakhir bapanya sakit, Allahyarham, bekas menteri besar Kelantan itu, ada berpesan mahukan perjuangan Islam di Malaysia sentiasa diteruskan oleh semua pemimpin di pelbagai peringkat.

Anak kelima Allahyarham itu ditemui pemberita selepas pengebumian bapanya di sini. |

Nik Abdul Aziz, 84, meninggal dunia di kediaman beliau pada pukul 9.40 malam tadi, kira-kira sejam selepas dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian. 

Allahyarham yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Chempaka dirawat dihospital itu sejak 19 Januari kerana kanser prostat.

Nik Mohamad Abduh mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada upacara pengebumian yang berlangsung pada Jumaat.

"Saya ambil kesempatan bagi pihak keluarga untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang ramai yang berdoa untuk ayah saya," katanya.

Puluhan ribu orang berhimpun di kediaman Allahyarham untuk menziarah dan memberikan penghormatan terakhir, menyertai solat jenazah dan mengiringi jenazah Allhayarham untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pulau Melaka di sini.

Isteri Allahyarham Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak @ Tuan Muda, 67, berkata semua anggota keluarga berada di sisi Allahyarham ketika menghembuskan nafas terakhir.

"Saya reda...anak beranak berkumpul semasa dia (Nik Abdul Aziz) meninggal dunia. Ramai orang sayangkan Tok Guru," katanya. -BERNAMA

Nik Abduh, Nik Abdul Aziz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain