suria

Peruntukan RM1.8 Juta Ganti Palang Besi Baharu di Flat PPR

Noh Omar.
PETALING JAYA: Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.8 juta untuk menggantikan palang besi di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seksyen 8, Kota Damansara di sini.

Peruntukan kecemasan ini disediakan selepas seorang kanak-kanak berusia lima tahun, Mohammad Zul Hazriq Danish Alden maut akibat terjatuh dari tingkat 6 Blok B flat tersebut.

"Wang sudah ada dan saya berharap projek ini akan diteruskan secepat mungkin," kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, peruntukan tersebut akan dibahagikan kepada dua bahagian - pertama untuk membaiki palang besi dan kedua untuk menggantikan wayar elektrik di flat tersebut.

"Kami akan melihat jumlah yang diperlukan untuk membaiki palang besi itu. Sekiranya kos melebihi RM1 juta, kami akan menangguhkan kerja menggantikan wayar elektrik tersebut," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Turut hadir Ahli Parlimen Kota Damansara, Halimaton Saadiah Bohan.

Namun, tiada tarikh akhir ditetapkan untuk membaiki palang besi itu.

"Ia akan dilakukan selepas proses tender selesai," kata Noh.

Pengerusi flat tersebut, Johari Nander berkata beliau berharap agar palang besi itu akan dibaiki dengan secepat mungkin kerana tidak mahu kes sama berulang.

Beliau berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sudah melakukan beberapa kerja pembaikan selepas kanak-kanak tersebut maut akibat terjatuh selepas duduk bersandar pada palang besi itu.

"Kami tidak tahu sejauh mana kerja pembaikan sudah dilakukan," kata Johari.

Ketika dihubungi, MBPJ berkata pihaknya menyerahkan flat tersebut kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor yang bertanggungjawab melakukan kerja penyelenggaraan.
Noh Omar, PPR, Kota Damansara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain