suria

Lebih RM10 Juta Kerugian Syarikat Air Negeri Terjejas Banjir

PASIR SALAK: Syarikat air di negeri-negeri terjejas banjir mengalami kerugian lebih RM10 juta berikutan pelbagai peralatan di loji rawatan air rosak akibat ditenggalami air banjir.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata bagi Kelantan kerugian yang dialamai mencecah RM6 juta, Pahang (RM4 juta) dan Perak (RM240,000).

Beliau berkata sehingga hari ini terdapat dua loji di Gua Musang, Kelantan masih ditutup iaitu Loji Limau Kasturi dan Loji Bertam manakala di Pahang hanya satu loji ditutup iaitu di Kuala Tahan, Jerantut.
 
"Pembaikan 'raw water pipe' di Loji Limau Kasturi masih belum boleh dilakukan manakala di Loji Bertam, kerja-kerja mengeluarkan lumpur dan pasir sedang giat dijalankan," katanya selepas melawat Loji Rawatan Air Kampung Gajah di sini hari ini.

Beliau berkata terdapat sebanyak 32 logi di Kelantan dengan 27 daripadanya ditutup ketika banjir berlaku, baru-baru ini.

Menurut beliau, loji yang ditutup di Pahang adalah disebabkan bekalan elektrik masih terputus dan daripada keseluruhan 80 loji yang ada, sebanyak 16 daripadanya terjejas akibat banjir.

Semalam, Mahdzir turut melakukan tinjauan udara sebelum mendengar taklimat di Stesen Janakuasa Elektrik Temenggor, Gerik.

Bagi loji rawatan air di Perak, Mahdzir berkata tiga daripada 46 loji air ditutup semasa banjir iaitu di Kampung Gajah, Felda Lasah di Sungai Siput dan Kota Lama Kiri di Kuala Kangsar, namun kesemuanya telah beroperasi seperti biasa.

Beliau berkata bagi kawasan yang masih mengalami gangguan bekalan air bersih, bantuan bekalan air disalurkan dengan menggunakan lori tangki dari beberapa negeri.

Mahdzir turut berterima kasih kepada syarikat air negeri-negeri kerana menghantar kakitangan mereka untuk membantu melakukan kerja pembaikan loji yang terjejas banjir.
 
"Kalau nak harap satu pasukan sahaja saya fikir sampai hari ini loji belum pulih seperti sedia kala," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain