suria

Kembar Siam: Lampin, Beg Najis 'Teman' Sepanjang Hayat

Keadaan Ahmad dan Muhammad sejurus sebelum menjalani pembedahan 13 tahun lalu di Riyadh, Arab Saudi. Gambar fail.

PUCHONG: Kehidupan baharu pasangan kembar siam sejak dipisahkan 13 tahun lalu ternyata penuh dugaan, lebih-lebih lagi apabila pasangan kembar siam Ahmad dan Muhammad Rosli perlu bergantung sepenuhnya kepada beberapa peralatan untuk memudahkan aktiviti harian, sama ada di rumah atau sekolah.

Tanpa ibu kandung, Asiah Kanda yang lebih awal dijemput Ilahi,  remaja yang kini berusia 17 tahun itu bagaimanapun bernasib baik kerana bapa mereka, Rosli Abdul Rahim masih diberi kesihatan baik untuk menguruskan mereka setiap hari.

Malahan kehadiran Junaidah Awang atau dipanggil umi yang dinikahi Rosli pada 2012 menceriakan keluarga itu dan turut meringankan beban dua beradik itu.

Menurut Rosli, 44, dua beradik itu terpaksa bergantung kepada beg najis dan lampin pakai buang sama ada untuk buang air kecil atau air besar.

"Mereka terpaksa guna dua 'barang' penting itu kerana setiap seorang hanya ada satu buah pinggang," katanya ketika ditemui mStar Online di kediaman mereka di Kampung Tengah di sini, baru-baru ini.

Malah, beliau berkata, Ahmad mahupun Muhammad juga tidak mampu mengawal sistem pencernaan seperti individu normal, terutama Muhammad kerana ususnya pendek dan ketiadaan tulang pinggul menyebabkan dia sukar untuk duduk terlalu lama.

"Mereka tak boleh rasa sakit perut dan tidak tahu bila mahu buang air kecil...tengok-tengok dah terkencing dan buang air besar. Jadi terpaksa guna beg najis sepanjang masa.

"Baru-baru ini, Muhammad ketuk pintu bilik tidur saya dan isteri pukul 3 pagi beritahu pampers bocor dan minta ditukar," katanya sambil menjelaskan anaknya itu perlu dibantu untuk tujuan itu.

Rosli berkata, sekiranya lampin pakai buang mereka 'bocor' di sekolah, guru akan menghubunginya untuk memaklumkan perkara itu.

"Selalunya guru akan benarkan Along (Ahmad) dan Angah (Muhammad) balik rumah, tiada halangan kerana kes istimewa. Semua guru faham masalah mereka," katanya.

Rosli yang bekerja di bengkel besi miliknya memberitahu, penggunaan berterusan barangan itu membuatkan beliau perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM500 sebulan bagi membeli dua barangan kegunaan anaknya itu.

"Satu kotak beg najis buatan China yang mengandungi 20 keping berharga RM112. Jika tiada masalah sehari sekeping tetapi jika perut sakit, ada ketikanya mereka pakai sehingga tiga keping sehari.

"Itu belum pampers lagi, mereka pakai empat keping sehari setiap seorang. Harga pampers paling murah pun sekitar RM30. Jadi sebulan saya belanjakan lebih kurang RM500," katanya.

Ketika hayatnya, Asiah menjaga dua beradik ini seperti menatang minyak yang penuh.

Mengakui ia satu perbelanjaan yang agak besar, Rosli berkata, beliau bergantung sepenuhnya kepada pendapatannya bekerja sepenuh masa di bengkel besi yang diusahakan bersama anak saudaranya.

Memandangkan pendapatannya tidak tetap, beliau tidak menafikan ada ketikanya berhadapan kesulitan untuk memenuhi keperluan dua anak istimewanya itu.

Sebagai langkah penjimatan,  katanya, Ahmad dan Muhammad akan memakai lampin pakai buang dan beg najis lebih lama berbanding kebiasaannya.

"Mereka terpaksa pakai pampers lebih lama sikit, nak buat macam mana. Tapi syukurlah kerana mereka faham masalah saya," katanya.

Namun, kata Rosli yang mempunyai enam cahaya mata, ketika ini beliau masih mampu menyara keluarga besarnya kerana percaya setiap anak ada rezeki masing-masing.

"Setakat ini masih lagi mampu menyara keluarga, cuma kena kerja kuat lagi. Tapi kalau saya sakit, pendapatan sedikit terjejas," katanya yang sentiasa memikirkan masa depan anak kembarnya itu.

Pasangan tersebut mula menjadi perhatian dunia kerana dilahirkan bercantum pada bahagian dada dan punggung pada 1998, sebelum menjalani pembedahan pemisahan di Hospital King Fahd National Guard di Riyadh, Arab Saudi, pada September 2002.

Pembedahan  pemisahan yang memakan masa selama 22 jam 45 minit itu dibiayai sepenuhnya oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Abdullah Abdul Aziz yang melibatkan kos RM1.7 juta.

Pembedahan pemisahan yang pernah dianggap mustahil untuk dilakukan suatu ketika dahulu ternyata berjaya dan mereka kini di Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, Subang Jaya.

Ikuti kisah pasangan kembar siam ini seterusnya, esok.

kembar siam, Asiah Kanda

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain