suria

Pegawai Kurator Mengaku Tidak Bersalah Perakui Dokumen Palsu

Mohd Subli dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan memperakui dokumen palsu dan mendapatkan suapan dalamm proses pembelian peralatan muzik dua tahun lepas di sini, Selasa.

SHAH ALAM: Seorang pegawai kurator Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memperakui dokumen palsu dan mendapatkan suapan dalam proses pembelian peralatan muzik, dua tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Subli Musa, 35 didakwa memperakui dokumen penerimaan peralatan muzik dan pesanan kerajaan yang palsu bagi pembekalan peralatan muzik tradisional untuk Kumpulan Kesenian Padat, iaitu sebuah keyboard Yamaha bernilai RM7,140 sedangkan peralatan itu tidak dibekalkan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Subli didakwa menggunakan kedudukannya sebagai pegawai kurator di perbadanan itu untuk mendapatkan suapan sebanyak RM38,000 dengan terbabit secara langsung dalam proses pembelian peralatan muzik bagi syarikat Security Multi Solutions yang membekalkan peralatan muzik kepada Kumpulan Kesenian Padat.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di pejabat Kumpulan Kesenian Padat, Shah Alam, di sini pada 7 Mei 2013.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Subli didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau butir matan yang palsu atau RM 10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, bagi pertuduhan kedua.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail memohon agar tertuduh diikat jamin RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Peguam Ridha Abdah Subri bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan tertuduh menyara tiga anak yang masih kecil.

Hakim membenarkan Mohd Subli diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Feb depan untuk sebutan semula kes.

kurator, Padat, Mohd Subli Musa

Artikel Berikut

Artikel Lain