suria

PM Thai Arah Tentera Bantu Mangsa Banjir Di Kelantan

PATTANI: Perdana Menteri Thailand Jen Prayuth Chan-ocha mengarahkan pasukan tentera di selatan negara berkenaan supaya membantu mangsa banjir di Kelantan, Malaysia.

Panglima Tentera Bahagian ke-4, Leftenan Jeneral Prakarn Chollayuth berkata Prayuth juga mengarahkan agar semua badan kerajaan di selatan Thailand memberi bantuan kepada mangsa bencana itu secepat mungkin.

Prakarn berkata Unit Keselamatan Dalam Negeri Bahagian ke-4 akan mula menerima barangan keperluan dan peralatan membina rumah serta membaiki kenderaan yang rosak bermula Selasa.

"Untuk permulaan, kami merancang membawa sumbangan ke tiga kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah pada 17 dan 18 Januari," katanya pada sidang media di Kem Sirinthorn, Yarang, Selasa.

Beliau berkata pusat penyelaras bagi menerima sumbangan berkenaan ialah di Pejabat Gabenor wilayah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkla.

Bagi penduduk yang ingin menghulurkan bantuan boleh berurusan di Pejabat Gabenor di empat wilayah tersebut, katanya.

Pada bulan lepas, bencana banjir turut melanda selatan Thailand membabitkan wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat.

Kerajaan Thai, banjir