suria

Kesederhanaan, Liberalisme Bantu Bentuk Hubungan Rakyat Malaysia - Musa Hitam

Musa Hitam. - foto NORAFIFI EHSAN/The Star
KUALA LUMPUR: Malaysia ditubuhkan atas dasar kesederhanaan dan liberalisme, malah ia satu-satunya cara rakyat pelbagai agama boleh membentuk hubungan sebenar antara satu sama lain, kata Tun Musa Hitam.


"Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama. Dan hanya sekiranya anda liberal dan sederhana, anda boleh membentuk hubungan sebenar dengan satu sama lain," katanya pada satu temu bual eksklusif di kediamannya di Bukit Tunku di sini.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, tujuan untuk membina hubungan sebenar itu dikalangan rakyat adalah untuk membantu negara menjadi lebih kukuh dari semasa ke semasa.

Menurut bekas pemimpin berusia 80 tahun itu, beliau seorang liberal dan sederhana serta amat bangga dengannya.

"Saya dibesarkan seperti itu. Ibu bapa dan keluarga saya mendidik saya dengan cara itu.

"Cikgu dan guru sekolah agama, Cikgu Hashim antara yang tidak pernah saya lupa, beliau membantu membentuk diri saya," katanya.

Musa berkata, beliau melihat ramai ahli politik menggunakan bangsa dan agama untuk agenda tersendiri selama ini dan ia semakin menjadi-jadi.

Katanya, sempadan antara politik dan agama di negara ini semakin kabur.

"Ramai ahli politik mahu menjadi pemimpin agama dan terlalu ramai pemimpin agama mahu menjadi ahli politik," katanya.

Namun, beliau berkata, situasi berubah dikalangan golongan kelas pertengahan.

"Saya amat gembira untuk melihat kenyataan yang dikeluarkan oleh 25 personaliti Melayu.

"Saya mesti jelaskan kepada orang Melayu yang mengutuk kesederhanaan dan liberalisme bahawa kesemua 25 individu tersebut telah berkhidmat untuk negara dan mengharumkan nama negara.

"Bagi saya, itu adalah pendirian baik yang diambil oleh mereka dan membantu mencetuskan pemikiran, perdebatan dan perbualan.

"Kita memerlukan perbualan seperti ini. Saya amat gembira untuk melihat ia bermula, dan terima kasih kepada The Star, saya perlu mengatakannya," kata Musa yang merujuk kepada kempen Suara Kesederhanaan (Voices of Moderation) kendalian The Star.


Artikel Lain