suria

Lanjutkan Tempoh Permit Pekerja Asing Sehingga 10 Tahun - MEF

Shamsuddin Bardan.
PETALING JAYA: Walaupun tempoh permit pekerja asing berdaftar di bawah Program 6P dilanjutkan setahun lagi,  persatuan majikan masih tidak berpuas hati dan menggesa kerajaan untuk membenarkan seramai 352,000 pekerja yang terlibat, untuk bekerja di Malaysia sehingga 10 tahun.


Menerusi program tersebut, sebilangan pekerja berkenaan akan meninggalkan negara ini bermula bulan depan.

Sambil menyifatkan pemergian sebilangan besar pekerja tersebut akan memberi kesan buruk kepada industri pembinaan dan perladangan, mereka berkata dasar mengehadkan tempoh permit pekerja asing akan menyebabkan Malaysia bertukar menjadi tempat latihan untuk pekerja asing berkemahiran rendah.


Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, sektor pembinaan dan perladangan akan menghadapi masalah besar apabila pekerja asing meninggalkan negara ini selepas tempoh lanjutan tersebut tamat.

"Kita perlu mengambil pekerja baharu yang akan mengambil masa sehingga lapan bulan dan kemudian melatih mereka.

"Bayangkan kelewatan ini akan menyebabkan industri pembinaan perlu membayar penalti kerana projek lewat diselesaikan," kata Shamsuddin pada sidang media selepas melancarkan buku panduan majikan mengenai pengambilan pekerja asing di Pejabat MEF di sini.

Dokumen tersebut dihasilkan oleh MEF dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

Shamsuddin berkata pemergian seramai 352,000 pekerja asing akan memberi kesan kepada industri perladangan dan ini pernah berlaku pada masa lalu, dimana buah-buahan bernilai RM1 bilion rosak kerana kekurangan pekerja untuk menuai hasil tersebut.

Beliau berkata majikan bersyukur dengan tempoh lanjutan selama setahun itu tetapi berharap seramai 352,000 pekerja akan diberi layanan sama seperti pekerja asing yang masuk secara sah dan dibenarkan untuk bekerja di sini sehingga 10 tahun.

Artikel Lain