suria

Banjir Di Terengganu Bertambah Buruk, Mangsa Meningkat Lebih 4,000 Orang

Sebahagian mangsa banjir menyelamatkan barangan keperluan untuk dibawa ke pusat pemindahan banjir di Kampung Bukit Kolam, Ajil, Hulu Terengganu.

KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu bertambah buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada 4,023 orang tengah hari ini berbanding 1,834 orang pagi Khamis.

Menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri Terengganu, daerah Hulu Terengganu mencatatkan mangsa teramai 1,540 orang sehingga pukul 12 tengah hari ini berbanding 209 orang pagi tadi.

Selain Hulu Terengganu, daerah Besut, Dungun, Kemaman dan Setiu juga mencatatkan peningkatan mangsa berikutan hujan lebat dan angin kencang yang tidak berhenti ketika ini.

Daerah Kemaman mencatatkan jumlah kedua tertinggi mangsa iaitu 957 orang diikuti Besut (814), Dungun (478), Setiu (216) dan Kuala Terengganu (18) orang yang melibatkan 1,118 keluarga.

Pada tempoh yang sama jumlah pusat pemindahan meningkat daripada 39 kepada 77 buah.

banjir, Terengganu, MKN

Artikel Berikut

Artikel Lain