suria

Wanita Australia Ditangkap Miliki Syabu Dakwa Diperangkap

PETALING JAYA: Wanita berusia 51 tahun dari Australia yang telah ditahan dengan 1.5kg syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendakwa dirinya telah diperangkap.

Menurut media Australia, ibu kepada empat anak itu memberitahu kepada peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Tania Scivetti bahawa dia telah diminta untuk membawa beg, di mana dadah itu dijumpai, untuk askar Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di Afghanistan, 

Akhbar The Australian memetik Muhammad Shafee sebagai berkata bahawa anak guamnya berkata dia telah didorong untuk percaya bahawa beg itu mengandungi dokumen untuk persaraan askar.

Dia mengambil beg itu di Shanghai dan diberitahu bahawa ada seseorang yang akan mengambilnya di Melbourne, menurut laporan The Australian.

Ketika dihubungi, Muhammad Shafee berkata tempoh reman wanita tersebut telah dilanjutkan selama lima hari lagi dan dia dijangka hadir di mahkamah pada 19 Disember .

Beliau berkata wanita itu mungkin akan didakwa di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya.

Muhammad Shafee enggan mengesahkan laporan oleh akhbar Australia, hanya menambah bahawa anak guamnya 'tidak tahu terdapat dadah di dalam begnya'.

Muhammad Shafee adalah peguam yang mewakili Dominic Bird, 34, yang terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Tinggi membebaskannya daripada tuduhan pengedaran dadah pada September tahun lepas.

Bird ditangkap dengan 167gm syabu dan dikatakan telah cuba untuk membekalkan dadah kepada seorang pegawai polis yang menyamar pada tahun 2012.

Pegawai kastam menemui dadah yang disembunyikan di bahagian tersorok dalam beg wanita Australia itu ketika dia sedang transit di KLIA kira-kira pukul 5 petang pada 7 Disember.

Artikel Berikut

Artikel Lain