suria

Polis Buru Suspek Keempat Kes Bunuh Warga Myanmar

Abdul Rahim Hanafi.

GEORGE TOWN: Polis kini memburu suspek keempat dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan kejam warga Myanmar di Pulau Pinang tahun ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, suspek keempat itu dipercayai terlibat dalam insiden terbaharu pada Isnin lalu di Taman Metropolitan, Relau di mana seorang individu yang tidak dikenal pasti, dipercayai seorang warga asing telah dibunuh.

"Saya telah katakan terdapat kumpulan pembunuh yang lain masih wujud, dan kita sedang memburu sekumpulan warga Myanmar.

"Suspek keempat dipercayai terlibat dalam kumpulan ini," katanya pada sidang media pada Ahad.

Abdul Rahim berkata, operasi memburu tiga suspek pembunuh yang lain dipercayai dari kumpulan pertama diteruskan.

Polis telah menahan 20 warga Myanmar termasuk seorang wanita sejak dua minggu lepas dalam satu operasi yang dinamakan Ops Kelar, selepas ia dilancarkan untuk menyelesaikan beberapa kes bunuh.

"Dua telah didakwa di bawah Akta Imigresen kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, enam telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala 12 lagi masih ditahan untuk membantu siasatan," kata Abdul Rahim.

Pada Khamis lalu, polis berkata, terdapat dua kumpulan warga Myanmar terlibat dalam beberapa kes pembunuhan kejam membabitkan warganegara itu di Pulau Pinang.

Artikel Sebelum

Interpol Pinjam Pegawai SPRM

Artikel Lain