suria

Boleh Pasang Pagar Elektrik Jika Ikut Peraturan, Kata Jurutera

PETALING JAYA: Anda berfikir untuk memasang pagar elektrik apabila rumah anda dipecah masuk, sehingga sukar tidur malam kerana bimbang kumpulan penjenayah akan datang kembali merompak atau lebih buruk mencederakan keluarga anda.

Tetapi anda tidak pasti sama ada idea untuk memasang pagar eletrik itu dibenarkan dari segi undang-undang atau tidak.

Menurut jurutera Waran Tharma, pagar elektrik yang dipasang secara betul adalah mematuhi undang-undang, sekiranya memenuhi semua syarat ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

"Terdapat spesifikasi yang jelas dan bagaimana pagar elektrik yang mengikut undang-undang boleh dipasang," kata Waran dari Intelligent Fence (M) Sdn Bhd.

"Semua pagar elektrik dikawal oleh satu sumber tenaga, punca kepada sistem keseluruhan," katanya.

"Suruhanjaya mempunyai peraturan-peraturan, berdasarkan ketetapan oleh Suruhanjaya Elektronik Antarabangsa (IEC), dan jika anda mematuhinya, pagar elektrik itu tidak akan membunuh sesiapa, walaupun seekor haiwan perliharaan," kata Waran.

Beliau berkata, sumber tenaga itu dibina oleh sistem yang diluluskan oleh Suruhanjaya yang mengawal selia dan mematikan aliran eletrik pada pagar, cukup kuat untuk menyebabkan kejutan yang menyakitkan, tetapi tidak mencederakan kepada manusia atau haiwan.

"Apabila anda melihat pada soket dinding atau plug, anda akan lihat 220 volt tertulis di situ, dan sebelahnya adalah 60 hertz.

"Ini bermakna terdapat satu frekuensi 60 denyutan elektrik yang berselang-seli dengan caj positif dan negatif sesaat. Itulah yang akan membunuh anda.

"Tetapi pagar elektrik hanya mempunyai satu frekuensi kira-kira satu hertz secara langsung.

"Ia akan mengeluarkan satu aliran selama satu milisaat," kata Waran.

"Oleh kerana frekuensinya rendah, anda akan berasa sakit, tetapi tidak akan terbakar," katanya.

Pagar elektrik juga perlu dipaparkan dengan tanda amaran yang jelas.

Suruhanjaya Tenaga telah meluluskan tanda warna kuning dan hitam dengan amaran dalam bahasa Inggeris, Melayu, Cina dan Tamil.

Satu lagi peraturan oleh Suruhanjaya ialah pagar elektrik perlu dipasang kira-kira 1.5 meter dari paras tanah.

"Jika anda mempunyai tebing setinggi 1 meter dan tembok tiga meter, pagar itu hanya boleh dipasang pada bahagian atas tembok," kata Waran.

"Dan jika anda mahu ia berfungsi dari paras tanah, anda perlu meletakkan penghadang tanpa elektrik terlebih dahulu," katanya, sambil menambah bahawa pemasangan itu perlu diawasi oleh seorang jurutera yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.

Artikel Sebelum

Artikel Lain