suria

IUMW Tawar Biasiswa Bernilai RM6.8 Juta Untuk Pelajar SPM 2014

KUALA LUMPUR: The International University of Malaya-Wales (IUMW) menawarkan biasiswa bernilai RM6.8 juta untuk kursus asas, bagi pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 menerusi kempen 'Let's go to University in 2015'. 

Presidennya, Prof Dr Hamzah A. Rahman berkata inisiatif itu bertujuan menggalakkan lebih ramai lepasan SPM melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti. 

Ini bagi mengelakkan isu ketidakmampuan sebagai penghalang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian.     

"Sebagaimana yang anda semua tahu, pelajar tidak menghadapi masalah mendapatkan pembiayaan untuk program ijazah pertama mereka menerusi PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).  

"Bagaimanapun, halangan utama kepada pelajar ialah yuran tinggi yang dikenakan untuk pengajian asas," katanya kepada pemberita pada Rabu. 

Menurut Hamzah, dengan bantuan biasiswa itu, pelajar hanya perlu membayar RM5,000 untuk asas Sastera dan RM6,000 untuk asas Sains, sedangkan yuran standard tanpa biasiswa ialah dari RM12,000 dan ke atas.  

IUMW menawarkan dua intake bagi kursus asas, intake pertama bermula Mac tahun depan dan kedua pada Julai.  

Di samping itu, universiti ini juga menawarkan kursus persediaan khas untuk lepasan SPM bermula 12 Jan hingga 27 Feb tahun depan, di mana mereka akan diajar mathematik persediaan, pemikiran kritikal dan etika profesional, kemahiran belajar dan bahasa Inggeris.  

"Yuran untuk kursus ini ialah RM500 dan akan dikreditkan kembali kepada pelajar bila mereka mendaftar untuk program asas.  

Pelajar mestilah memiliki sekurang-kurangnya lima kredit dalam percubaan SPM untuk mereka dipilih. 

"Kami mempunyai sejumlah 500 tempat untuk kursus persediaan dan 1,000 tempat untuk biasiswa (asas)," kata beliau. 

Pelajar boleh memohon biasiswa dan kursus persediaan mulai hari ini dikampus IUMW di Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur atau secara online diwww.iumw.edu.my.  -- 

Artikel Lain