suria

Delegasi Parlimen Sepanyol Puji Kesederhanaan Malaysia

Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang (tengah, kanan) mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Kongress Sepanyol Maria Aranzazu Miguelez Pariente (tengah, kiri) dan Delegasi Parlimen Sepanyol (barisan, kiri) semasa menerima kunjungan hormat di Bangunan Parlimen pada Selasa.

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Selasa menerima kunjungan hormat delegasi Parlimen Sepanyol yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Kongres Sepanyol Maria Aranzazu Miguelez Pariente.

Pertemuan yang berlangsung hampir sejam di Bilik Diraja, Blok Utama Parlimen itu bertujuan mempertingkatkan hubungan baik dua hala antara kerajaan Sepanyol dan Malaysia.

Bercakap kepada pemberita selepas kunjungan itu, Abu Zahar berkata delegasi lima orang itu turut memuji konsep kesederhanaan yang diamalkan Malaysia, sebuah negara dengan kepelbagaian kaum dan agama.

"Mereka sedar bahawa kerajaan kita amalkan pendekatan Islam, sungguhpun Islam sebagai agama persekutuan tetapi agama-agama lain tetap diamalkan, kita praktiskan kesederhanaan, kita tidak beri sokongan kepada sebarang bentuk fahaman pelampau atau keganasan," katanya.

Di samping memuji ketabahan dan ketegasan Malaysia dalam menghadapi situasi tragedi pesawat MH17 dan MH370, mereka turut menyokong kedudukan Malaysia yang mengisi salah satu kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan berharap Malaysia dapat memainkan peranan lebih efektif dalam isu-isu antarabangsa.


Sepanyol, Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain