suria

Siasatan Punca Letupan Lombong Arang Batu Belum Dapat Dilakukan - Bomba

Anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak mengawal selia pintu masuk lombong arang batu yang meletup di Selantik, Pantu dekat Sri Aman kira-kira 130km dari Serian, Sarawak pada Sabtu. Tiga warganegara asing maut manakala jumlah yang cedera meningkat kepada 26 orang. -Foto BERNAMA.
SRI AMAN: Kerja-kerja menyiasat punca sebenar kejadian letupan lombong arang batu di Pantu, dekat sini masih belum dapat dilakukan setakat 6.30 petang tadi.

Ketua Balai Bomba Sri Aman, Ranger Moos berkata ini kerana pasukan operasi dan forensik kebakaran Bomba perlu mendapatkan pengesahan keselamatan daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sebelum boleh memasuki terowong lombong berkenaan.
 
"Hazmat perlu terlebih dahulu masuk ke dalam terowong berkenaan bagi memastikan tiada sebarang kebocoron gas atau menentukan jenis gas yang bocor di dalam terowong, selain memastikan keadaan selamat untuk dimasuki sebelum pasukan forensik dapat melakukan kerja-kerja siasatan," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.


Tiga yang maut dalam kejadian letupan di lombong arang batu di Selantik, Pantu dekat Sri Aman hari ini, kira-kira 130km dari sini, dikenal pasti sebagai warganegara asing manakala jumlah yang cedera meningkat kepada 26 orang.

Ranger berkata selain itu, pihaknya perlu mendapatkan pengesahan daripada jurutera syarikat lombong arang batu berkenaan sama ada struktur terowong terjejas atau tidak disebabkan letupan yang berlaku itu.
 
"Hazmat dijangka tiba di lokasi petang ini. Jadi, buat sementara waktu pasukan operasi bomba akan memantau lokasi kejadian dan sesiapa pun tidak dibenarkan masuk ke dalam terowong itu," katanya.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati bomba masih mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian itu daripada penyelia lombong berkenaan.

Turut berda di lokasi kejadian ialah pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan Sarawak.

Ranger berkata bomba dimaklumkan oleh penyelia berkenaan bahawa terdapat terdapat 119 pekerja termasuk warga China (15), Myanmar (29), Indonesia (19), Bangladesh (10) dan Korea Utara (46) yang bekerja di lombong berkenaan.
 
"Penyelia juga mengesahkan ketika kejadian, hanya 27 orang pekerja yang masuk ke dalam terowong lombong berkenaan," katanya.

Menurutnya siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada percikan api kipas angin yang rosak dan seterusnya menyebabkan kebakaran gas dan letupan di terowong itu.
 
"Ketika kejadian, 27 pekerja itu berada pada jarak 450 meter di dalam terowong," katanya.

Terowong berkenaan adalah sepanjang 700 meter.


lombong arang batu, Sri Aman, bomba

Artikel Lain