suria

Suami Isteri Maut Dalam Lori 10 Tan Di Kinabatangan

KINABATANGAN: Sepasang suami isteri maut ketika lori kontena yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori lain di kilometer 126 jalan Sandakan-Lahad Datu di sini, malam Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Supt A. Sahak Rahmat berkata dalam kejadian kira-kira 9.50 malam itu, pemandu lori kontena terbabit Ramli Manti, 37 mati di tempat kejadian manakala isterinya Sima Katta Salama, 31, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kinabatangan.
 
"Siasatan awal mendapati lori kontena itu yang datang dari arah Sandakan menuju ke Lahad Datu telah masuk ke lorong kanan lalu bertembung dengan lori 10 tan yang datang dari arah bertentangan.
 
"Akibat pertembungan dua lori itu, penumpang lori kontena iaitu Sima tersepit di bahagian penumpang dan pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkannya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut A. Sahak, anak pasangan itu Nor Fatin Najiha, berumur satu setengah tahun, yang juga bersama pasangan terbabit ketika kejadian, mengalami cedera parah di paha kanannya dan sedang dirawat di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
 
Pemandu lori 10 tan itu berumur 45 tahun dan anaknya berumur lapan bulan mengalami cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Kinabatangan, katanya.

A. Sahak berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
suami isteri, maut

Artikel Lain