suria

Jumlah Keluar Mengundi Di Pengkalan Kubor Menurun Berbanding PRU13

TUMPAT: Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor lebih rendah berbanding jumlah pengundian di kawasan sama ketika Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 Mei tahun lalu.

Dalam PRK kali ini, jumlah pengundi yang keluar menunaikan tanggungjawab mereka adalah sebanyak 73 peratus berbanding 79.10 peratus pada PRU13.

Bagaimanapun jumlah peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Pengkalan Kubor merupakan yang tertinggi di antara pilihan raya kecil yang diadakan selepas PRU-13.

Peratusan keluar mengundi bagi PRK Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei lalu adalah yang terendah selepas PRU-13 diikuti PRK Teluk Intan.

PRK Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail; calon PAS, Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nooor Zahidi Omar akibat kanser pada 20 Ogos lalu.


Pengkalan Kubor

Artikel Lain