suria

Kembara Kerjaya Tawar 3,400 Peluang Pekerjaan

JOHOR BAHARU: Sebanyak 3,400 peluang pekerjaan ditawarkan kepada rakyat negeri ini dalam Program Kembara Kerjaya 2014 yang akan menjelajah ke tujuh daerah bermula hari ini sehingga 28 Sept.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri R. Vidyananthan berkata peluang pekerjaan yang ditawarkan melibatkan 24 majikan daripada agensi kerajaan, swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Beliau berkata Program Kembara Kerjaya itu merupakan usaha kerajaan Johor dalam menguar-uarkan peluang pekerjaan dan latihan sijil kemahiran yang terdapat di negeri ini.

"Ketika ini, Johor memerlukan ramai tenaga kerja mahir dalam mengendalikan bidang pekerjaan yang berasaskan kemahiran seperti industri minyak dan gas, kreatif dan multimedia serta hospitaliti," katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan konvoi Program Kembara Kerjaya 2014 di Kota Iskandar, Nusajaya, dekat sini, Khamis.

Vidyananthan berkata rakyat di negeri ini khususnya belia perlu merebut peluang dalam bidang industri minyak dan gas yang terbesar di Malaysia bagi memastikan bidang itu tidak dimonopoli pekerja asing.

Beliau berkata menerusi konvoi itu, pelbagai maklumat dan cara memohon untuk memasuki latihan kemahiran serta peluang pekerjaan akan dimaklumkan semasa sesi penerangan di setiap daerah.

Kembara Kerjaya yang julung kali diadakan itu, disertai 178 peserta dengan 57 buah kenderaan terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan, swasta dan GLC yang akan memberi penerangan tentang agensi masing-masing serta peluang pekerjaan yang ada.

Kembara sejauh 646 kilometer itu bermula di Dewan Kejora Bandar Penawar, Kota Tinggi, seterusnya ke Dewan Sentuhan Kasih, Tenggaroh 3, Mersing (26 Sept); Dewan Orang Ramai, Parit Sulong, Muar (27 Sept), Dewan Kejora Taman Sri Lambak, Kluang (27 Sept); Institut Kemahiran Belia Negara Pagoh (28 Sept) dan Dataran Datuk Jalok, Benut, Pontian (28 Sept).


Johor, Kerjaya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain