suria

Polis Tahan Enam Orang, Rampas 10 Kenderaan Mewah Bernilai RM2 Juta

ACP Azmi Abu Kassim bersama timbalannya Supt Fadil Marsus (kanan) serta pegawai menunjukan antara peralatan untuk menyamun kenderaan mewah yang dirampas selepas mengadakan sidang media berkaitan kes samun dan curi kenderaan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya, Rabu.

PETALING JAYA: Polis menahan enam orang termasuk seorang wanita di Petaling Jaya, Kepong dan Damansara kerana disyaki terlibat dalam kes curi kenderaan mewah bernilai hampir RM2 juta.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Azmi Abu Kassim berkata kesemua suspek yang ditahan pada 14 September lepas itu merupakan anggota kumpulan 'Tai Wai', berumur dalam lingkungan 30-an dan 40-an.

"Dalam serbuan pertama pada 14 Sept lepas di Kepong sekitar 2 pagi, polis telah menahan empat suspek, manakala serbuan kedua dan ketiga pula di sekitar kawasan Damansara dan Petaling Jaya pada waktu yang sama, masing-masing seorang.

Turut dirampas dalam ketiga-tiga serbuan itu, 10 jenis kenderaan mewah di antaranya empat kenderaan jenis 'Vellfire' dan peralatan mencuri kenderaan termasuk beberapa unit alat kawalan jauh yang telah diklonkan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Rabu.

Beliau berkata ada di antara suspek yang ditahan merupakan penjenayah tegar yang mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah menjalani tahanan di Simpang Rengam.

"Hasil siasatan dijalankan ke atas suspek, dua orang di antara mereka telah mendapat jaminan mahkamah Petaling Jaya pada April lepas atas kesalahan yang sama. Kita berharap supaya mahkamah menafikan jaminan ke atas mereka bagimencegah jenayah ini berlaku," katanya.

Azmi berkata hasil siasatan mendapati 37 kenderaan yang dilaporkan hilang telah dicuri oleh anggota kumpulan itu.

"Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, kumpulan ini bertindak menjual kenderaan itu kepada pembeli. Kenderaan terbabit dibawa keluar dari negara ini melalui pintu masuk di sempadan belah utara dan selatan," katanya.

kereta mewah curi

Artikel Sebelum

Artikel Lain