suria

Pembiayaan Aktiviti Militan Guna Wang Tunai, Elak Dikesan Polis

KUALA LUMPUR: Pembiayaan aktiviti militan atau pengganas membabitkan rakyat Malaysia dan rakyat luar negara di negara ini, dibuat melalui pembayaran wang tunai tanpa menggunakan transaksi bank.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kaedah konvensional itu bertujuan mengelak kegiatan mereka daripada dikesan pihak polis.

"Ianya adalah hasil soal siasat polis terhadap 28 individu yang ditahan iaitu 20 orang rakyat Malaysia dan lapan warga asing selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan militan di negara ini tahun ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata mereka terdiri daripada kumpulan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda, pertubuhan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS), Jemaah Islamiah (JI), serta pertubuhan pengganas lain termasuk 'LiberationTigers of Tamil Eelam', Sikh Terrorist dan Darul Islam.

Ayob Khan berkata bagi militan warga asing dan rakyat negara ini, pihak polis sentiasa mengemaskini maklumat suspek-suspek dengan pihak Interpol dan Majlis Jawatankuasa Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha membanteras kumpulan pengganas secara bersama di peringkat global.

Beliau berkata soal siasat polis juga mendapati selain kaedah penghantaran wang tunai, kumpulan militan atau pengganas ini juga menggunakan kaedah 'hawala' iaitu pemindahan tanggungan hutang seseorang kepada tanggungan orang lain.

Katanya melalui kaedah itu, pihak ketiga, yang pernah berhutang dengan siperancang militan, perlu membiayai kos dan membuat bayaran serta menyediakan keperluan kepada sipelaku aktiviti pengganas.

Mengulas lanjut mengenai 28 tangkapan pengganas tersebut, beliau berkata, setakat ini pihaknya telah membuka sebanyak 28 kertas siasatan terhadap suspek berkenaan dan mereka disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001 dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

 "Siasatan juga mendapati terdapat kumpulan JI dan Al-Qaeda yang ditangkap tidak menggunakan institusi kewangan dan perbankan untuk menyalurkan wang sebaliknya menggunakan cara hawalah dan secara tunai," katanya.

militan, wang tunai

Artikel Lain