suria

China Hargai Usaha Malaysia Jejak MH370 - Duta

KUALA LUMPUR:  Kerajaan China menghargai usaha tanpa jemu kerajaan Malaysia untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 yang hilang.

Duta China di Malaysia, Dr Huang Huikang berkata usaha berterusan ini penting bagi anggota keluarga yang terlibat dalam mencari orang yang mereka sayangi, walaupun telah enam bulan pesawat Boeing 777-200 itu hilang.

"Penjagaan dan simpati kerajaan dan rakyat Malaysia amat bermakna kepada anggota keluarga ini. Kami (Malaysia dan China) akan terus melakukan yang terbaik untuk menjejaki pesawat yang hilang itu," kata beliau kepada Bernama, pada Rabu.

Dr Huang berkata beliau berharap kedua-dua negara akan terus berkomunikasi dengan baik untuk membantu anggota keluarga mendapatkan maklumat terkini mengenai kemajuan dalam misi pencarian.

Beliau menarik pehatian bahawa hubungan diplomatik antara Malaysia dan China terus berkembang di sebalik tragedi itu kerana kedua-dua kerajaan bersetuju untuk bekerjasama rapat dalam apa-apa isu yang mungkin timbul akibat insiden itu.

"Saya percaya isu pampasan kepada anggota keluarga akan diuruskan dalam masa yang sesuai. Kami (Malaysia dan China) akan terus menjaga kebajikan anggota keluarga yang terlibat," katanya. Dr Huang juga melahirkan keyakinan bahawa Malaysia akan kembali menjadi satu daripada destinasi percutian paling digemari oleh pelancong China pada masa depan.

Walaupun MH370 memberi sedikit kesan terhadap kedatangan pelancong dari China, jumlah itu semakin bertambah terutama di negeri Sabah dan Pulau Pinang, kata beliau.

Pesawat malang MH370 bersama 239 orang di dalamnya, 153 daripada mereka ialah penumpang warga China, hilang dari radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 8 Mac lalu.

MH370

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain