suria

Kantin Kilang Mak Mandin Kotor Diarah Tutup

Gambar Hiasan
GEORGE TOWN: Dua kantin kilang di Kawasan Perindustrian Mak Mandin di Butterworth diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan mulai Rabu kerana kotor.


Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Ku Nafishah Ku Ariffin berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah terdapat lipas, najis tikus dan talam makanan yang diletak atas lantai.

"Bagi kewujudan lipas dan tikus, arahan penutupan terus dikeluarkan tanpa kompromi," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Beliau berkata, perkara itu dikesan dalam operasi melibatkan pemeriksaan ke atas 29 kantin kilang, 10 di daerah Barat Daya, Seberang Perai Utara (empat), Seberang Perai Selatan (enam) dan Seberang Perai Tengah (sembilan).

Katanya pengusaha premis yang diarah tutup diberi tempoh 14 hari untuk melakukan kerja pembersihan, sebelum diperiksa sekali lagi.

Ku Nafishah berkata pihaknya turut mengeluarkan 13 notis saman berjumlah RM10,000 dan pengusaha kantin diminta menjelaskan bayaran dalam tempoh dua minggu.

Kesalahan menyimpan benda asing bersama ais serta penggunaan papan pemotong kayu masih menjadi kesalahan popular, katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian 04-2017277 atau 04-2017278 jika mempunyai aduan premis makanan kotor atau produk makanan rosak.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain