suria

Barisan Exco: Azmin Menghadap Sultan Selangor Esok

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata, beliau akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Khamis, bagi mendapat perkenan berhubung senarai barisan Exco baharu kerajaan negeri yang dipilih.


Azmin berkata, barisan exco itu hanya akan diketahui selewat-lewatnya Khamis selepas beliau mengadakan perbincangan kedua dengan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, Rabu.

"Sekarang ini kita sedang teliti barisan Exco baharu dan disusuli pertemuan (perbincangan) kedua petang ini.

"Insya-Allah kita akan selesaikan proses itu Khamis dan akan menghadap Tuanku bagi mendapat perkenan untuk majlis angkat sumpah Jumaat ini," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, Rabu.

Semalam, Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menghadiri perbincangan di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya, bersama wakil-wakil daripada tiga parti iaitu PKR, PAS dan DAP bagi membincangkan barisan Exco baharu kerajaan negeri.

Terdahulu, Azmin memasuki Bangunan SUK pada 7.45 pagi bagi memulakan tugas rasminya sebagai Menteri Besar.

Kedatangan beliau disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan beberapa pegawai kerajaan.

Azmin kemudian menuju ke pejabat Menteri Besar yang terletak di tingkat 21, Bangunan SUK dan secara simbolik mengetip kad perakam waktu kira-kira 7.50 pagi.

Menteri Besar baharu itu kemudiannya menghadiri mesyuarat bersama pegawai kanan kerajaan.

Azmin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah jawatan tertinggi pentadbiran Selangor itu di hadapan Sultan Sharafuddin di Istana Alam Shah, Klang Selasa.


Azmin Ali, Exco Sultan Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Lain