suria

Perdana Menteri Minta Perniagaan Daftar Awal Bagi GST

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa perniagaan supaya mendaftar awal bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). 

Beliau berkata pendaftaran awal akan membolehkan mereka mempelajari dan memahami dengan lebih baik mengenai pelaksanaan struktur cukai baharu itu, yang akan berkuat kuasa pada 1 April depan. 

"Saya meminta kepada semua rakyat Malaysia terutamanya perniagaan, supaya mendaftar secepat mungkin. 

"Dan, elaklah daripada sindrom klasik Malaysia, mendaftar pada saat-saatakhir," kata beliau dalam ucap tama pada seminar antarabangsa mengenai 'GST di Malaysia' pada Isnin. 

Najib berkata pendaftaran dan pemahaman lebih awal juga akan membolehkan perniagaan membuat persediaan bagi apa yang tidak dapat dielakkan dengan lebih cepat dan dengan itu memberi manfaat yang lebih kepada perniagaan mereka.

Sehingga Ahad, sebanyak 35,998 perniagaan telah mendaftar untuk GST dan kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 120,000 perniagaan mendaftar pada akhir tahun.

Najib yang juga Menteri Kewangan juga berkata GST merupakan pembaharuan strategik yang bertujuan untuk memodenkan sistem percukaian negara dan untuk menjadikannya lebih berkesan, lebih cekap dan lebih mesra perniagaan. 

"Saya yakin GST adalah cukai yang tepat pada masa yang tepat untuk Malaysia. Ia satu pembaharuan penting yang akan membantu kita membina ekonomi yang lebih kukuh, lebih mampan dan telus," kata beliau. 

Beliau berkata bagi memastikan GST dilaksanakan dengan betul, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah termasuk memperuntukkan RM100 juta untuk meningkatkan kesedaran dan program latihan di seluruh negara. 

Pakej insentif bernilai RM150 juta, termasuk bantuan kewangan dan insentif cukai untuk membeli perisian dan perkakasan berkaitan GST, juga disediakan untuk memastikan peralihan yang lancar kepada GST bagi perusahaan kecil dan sederhana.

GST

Artikel Lain