suria

Lima Penyeludup Minyak Petrol Ditahan

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna menahan empat lelaki dan seorang wanita ketika mereka cuba menyeludup keluar 2,000 liter petrol menggunakan bot pam di perairan Semporna, Ahad.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah ACP Mohamad Madun berkata kesemua suspek yang berumur di antara 20 dan 30 tahun itu dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI), ditahan dalam Op Taring kira-kira pukul 4.30 petang di Pulau Kulapuan, Semporna.

"Ketika operasi itu pasukan peronda telah menahan sebuah bot pam dan apabila diperiksa terdapat 60 tong berisi 2,000 liter minyak bersubsidi petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran," katanya.

Katanya, kesemua yang ditahan dan petrol itu dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Jumlah keseluruhan rampasan, termasuk bot pam, dianggar bernilai RM13,870, katanya.


Petrol, Tawau

Artikel Berikut

Artikel Lain