suria

Krisis MB: Cadangan Kekalkan Khalid Terserah Kepada Sultan

SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mahu beliau kekal sebagai Menteri Besar Selangor adalah terserah kepada kuasa Sultan Selangor.

Beliau bagaimanapun berterima kasih kepada Abdul Hadi, namun menegaskan sebarang perihal berkaitan pelantikan menteri besar baharu perlu memohon perkenan Sultan Sharafuddin Idris Shah terlebih dahulu.

Ketika ditanya sama ada wujud kebarangkalian beliau akan kekal sebagai Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid enggan mengulas lanjut dan menyatakan beliau tidak perlu membuat sebarang komen mengenainya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Multaqa Imam, Guru Takmir, Imam dan Jawatankuasa Masjid Negeri Selangor Tahun 2014 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Pada Ahad, Abdul Hadi dilapor menyarankan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang itu terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor bagi menyelesaikan kemelut politik di negeri itu, namun mendapat tentangan Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketuanya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata cadangan Abdul Hadi itu bertentangan dengan sokongan majoriti Adun Selangor yang memilih Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar baharu.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan keempat-empat anggota Exco kerajaan negeri petang ini bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai proses penstrukturan semula industri air Selangor.

"Selepas perjumpaan ini, kita akan buat beberapa pengumuman terutama dari segi terma-terma perjanjian penyusunan semula industri air yang dibuat antara kerajaan negeri dengan persekutuan.

"Bagaimanapun, teks perjanjian tersebut akan diedarkan tak lama lagi kerana syarikat-syarikat terlibat akan adakan mesyuarat agung luar biasa terlebih dahulu untuk tentukan penjualan saham-saham tersebut," katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sdn Bhd (SPLASH) oleh kerajaan negeri, Menteri Besar berkata proses tersebut akan dibuat pada peringkat kedua penstrukturan semula industri air.

Jumaat lepas, kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor memeterai Perjanjian Utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Dengan termeterainya perjanjian utama itu, Air Selangor Sdn Bhd, sebuah entiti baharu akan mengambil alih operasi dan penyelenggaraan loji rawatan air serta perkhidmatan pembekalan air yang sebelum ini dilakukan empat syarikat konsesi.

Selangor, Sultan Selangor, PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain