suria

Mexico Mahu Jalin Hubungan Lebih Erat Dengan Malaysia

KUALA LUMPUR: Mexico selaku kuasa ekonomi ke-14 terbesar dunia mahu mewujudkan hubungan persahabatan dan diplomatik lebih erat dengan Malaysia, dengan menumpukan kepada persamaan yang wujud antara kedua-dua negara.

Duta Mexico ke Malaysia, Carlos Isauro Felix Corona berkata walaupun kedua-dua negara terpisah jauh dari segi geografi, namun kedua-duanya berkongsi nilai yang boleh digunakan untuk meningkat interaksi antara rakyat.

"Rakyat Mexico dan Malaysia mempunyai banyak persamaan nilai. Kedua-duanya menyukai makanan pedas, rajin dan suka menikmati kehidupan.

"Mereka juga mesra dan baik hati," katanya kepada Bernama sempena hari kemerdekaan Mexico ke-204 baru-baru ini.

Acara tersebut turut disambut sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Mexico dan Malaysia sejak 1974.

Duta itu berkata negara Amerika Utara itu mahu menjalin lebih banyak pelaburan melibatkan sumber manusia di Malaysia terutama dalam bidang pendidikan.

"Cabarannya ialah kami perlu melabur dalam sumber manusia. Perdagangan dan pelaburan adalah penting untuk menjadi alat komunikasi sesama rakyat. Kami perlu mempunyai lebih banyak program pertukaran pelajar dan pendidik.

"Kami perlu lebih banyak pengkaji dan artis," katanya.

Felix Corona berkata kerajaan Mexico akan terus mempromosi program khusus dengan universiti Malaysia selain menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia di bawah program biasiswa kerajaan Mexico untuk pelajar antarabangsa.

Beliau berkata antara universiti yang telah menjalin kerjasama dengan Mexico ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Taylor's University.

Terdapat lebih 300 rakyat Mexico di Malaysia yang boleh menjayakan hubungan antara rakyat kedua-dua negara, katanya.

Kira-kira 100 rakyat Mexico turut berkahwin dengan masyarakat tempatan.

Masyarakat Mexico di negara ini bekerja sebagai eksekutif, profesional dan ahli perniagaan.

Malaysia merupakan rakan dagang terbesar Mexico di Asia Tenggara.


Mexico, Malaysia

Artikel Lain