suria

MH17: Beberapa Lagi Mayat Rakyat Malaysia Dikenal Pasti

Hishammuddin Tun Hussein
KUALA NERANG: Beberapa lagi mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 telah dikenal pasti sebagai rakyat Malaysia selepas proses pengecaman dilakukan di Amsterdam, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata selepas disahkan pihak berkuasa di Netherlands, jenazah rakyat Malaysia berkenaan akan dibawa pulang ke tanah air.

"Jenazah mereka akan dikembalikan (ke Malaysia dalam tempoh yang akan ditetapkan). Di Amsterdam, ada beberapa lagi jenazah belum disahkan selepas melalu proses pengecaman untuk dikenal pasti.

"Dalam berapa hari akan datang, ada lagi nama-nama yang akan disahkan oleh Belanda....(termasuk) warga Malaysia yang akan dikembalikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Terap di Kolej Mara Kuala Nerang di sini, Sabtu.

Menurutnya masih ada mayat rakyat Malaysia berada di timur Ukraine dan kerajaan sedang berusaha mendapatkan kerjasama pihak berkuasa Ukraine dan puak pemisah negara itu untuk membolehkan pasukan penyiasat Malaysia masuk semula ke lokasi kejadian nahas.

Hishammuddin berkata untuk itu, beliau sendiri akan ke lokasi kejadian dalam tempoh tertentu selepas rundingan dengan kerajaan Ukraine dan puak pemisah dilakukan, yang akan turut disertai pihak berkuasa Australia dan Belanda.

"Kita hanya mahu keadilan dan ketelusan dalam soal siasatan dan mahu orang kesayangan kita (mangsa) dapat dikembalikan ke tanah air," katanya.

Beliau berkata jenazah mangsa yang berada di Amsterdam adalah jenazah yang disenaraikan sebelum ini dan tiada jenazah yang baru diambil dari lokasi nahas.

"Nak masuk ke sana (lokasi nahas) rumit. Kita tak boleh masuk sendiri dan ia melibatkan pihak Belanda dan Australia. Kita mesti runding dengan pihak-pihak yang mengusai kawasan berkenaan. Ada yang di bawah penguasaan puak pemisah dan ada di bawah penguasaan Ukraine," katanya.

Beliau menegaskan kerajaan tetap mengutamakan keselamatan pasukan keselamatan Malaysia yang perlu ke lokasi nahas MH17.

Hishammuddin berkata mayat Puan Sri Siti Amirah Kusuma, nenek tiri beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, juga antara mangsa MH17 yang masih belum dikenal pasti.

Pesawat MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas apabila ditembak jatuh di negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Selain 43 penumpang dan anak kapal warga Malaysia, pesawat itu juga membawa penumpang pesawat warga Belanda, Australia, indonesia, United Kingdom, Jerman, Belgium, Filipina, Kanada dan New Zealand.

Semalam, Hishammuddin tiba di tanah air selepas mengadakan lawatan kerja ke Ukraine, Rusia dan Belanda bagi meneruskan misi siasatan di lokasi nahas MH17.
MH17, MAS, Hishammuddin Tun Hussein

Artikel Berikut

Artikel Lain