suria

Imigresen Pulau Pinang Tahan 31 Warga Asing di Bukit Mertajam

BUKIT MERTAJAM: Jabatan Imigresen Pulau Pinang menahan 31 warga asing termasuk dua kanak-kanak dalam Ops Nampi Bersepadu Fasa II di sekitar Bukit Mertajam, di sini, Sabtu.

Ketua Penguatkuasanya, Basri Othman berkata semua mereka berusia tiga hingga 50 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan ke atas 20 premis perniagaan dalam operasi yang bermula pukul 11 pagi.

"Bertindak hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan penguatkuasa imigresen menjalankan operasi dan kami memeriksa seramai 82 warga asing di sekitar kawasan Bukit Mertajam.

"Hasil pemeriksaan dalam operasi selama dua jam itu mendapati 31 warga asing termasuk 12 lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, Bangladesh (lima lelaki), Nepal (sembilan lelaki dan dua wanita) serta masing-masing seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan warga Nepal tidak memiliki dokumen perjalanan diri dan kami tahan untuk didokumentasi," katanya pada sidang akhbar di sini.

Katanya kebanyakan mereka ditahan ketika sedang berurusan di Bukit Mertajam seperti sedang membeli keperluan harian dan berurusan di pusat menukar wang sempena cuti hujung minggu.

Basri berkata mereka yang ditahan disiasat menurut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalah guna pas lawatan.

Katanya dalam operasi itu, pihaknya turut menahan tiga majikan warga tempatan kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen yang sah.
Imigresen, Pendatang Asing

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain