suria

Mahkamah Batal Rayuan Aktivis Politik Bersabit Tuduhan Menghasut

Haris Ibrahim
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa membatalkan rayuan yang dikemukakan aktivis politik, Haris Ibrahim bersabit dengan tuduhan menghasut.

Panel tiga anggota yang diketuai Datuk Wira Mohtarudin Baki berkata, Haris tidak boleh membawa perkara itu untuk rayuan ke Mahkamah Rayuan kerana keputusan Mahkamah Tinggi bukan bersifat muktamad.

Panel itu yang turut dianggotai Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmadi Asnawi, membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan Timbalan Pendakwa Raya Yusaini Amer Abdul Karim bahawa Mahkamah Rayuan tidak boleh mendengar perkara itu kerana ia tidak boleh dirayu.

Berikutan itu, keputusan Mahkamah Tinggi pada 27 Jun yang menolak permohonan Haris untuk membatalkan tuduhan menghasut, dikekalkan.

Mahkamah Tinggi pada tarikh berkenaan membenarkan bantahan awal pendakwa raya dan memutuskan bahawa mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, (CJA), Haris sepatutnya mengemukakan permohonan untuk membatalkan tuduhan ke atasnya di Mahkamah Sesyen.

Bagaimanapun, Haris memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk satu keputusan bahawa Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 adalah bercanggah dengan perlembagaan.

Pihak pendakwaan mengambil pendirian bahawa sebarang usaha untuk mencabar perlembagaan dalam perbicaraan kes jenayah mesti bermula di mahkamah perbicaraan dan terserah kepada budi bicara hakim Makamah Sesyen untuk menentukan sama ada terdapat isu perlembagaan yang perlu dirujuk kepada Mahkamah Tinggi.

Haris dituduh mengucapkan kata-kata berbaur hasutan pada satu forum awam di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Jalan Maharaja Lela antara 8.55 malam dan 11.15 malam pada 13 Mei, tahun lepas.

Dalam prosiding pada Selasa, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Haris berhujah bahawa membatalkan permohonan bukan bersifat mencabar perlembagaan dan oleh itu Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman tidak terpakai.

Di luar mahkamah, Gobind berkata, beliau menerima arahan daripada anak guamnya untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.


Mahkamah Rayuan, Haris Ibrahim

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain