suria

Elak Kunjungi Betong - KPN

Skuad pemusnah bom sedang meneliti kawasan letupan.
KUALA LUMPUR: Polis menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan diri daripada menuju ke wilayah Betong, dalam masa terdekat, berikutan insiden pengeboman di sana, petang Jumaat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam Twitternya berkata, keadaan di Betong, Thailand, yang terletak bersempadan dengan Pangkalan Hulu, Perak, pada masa ini adalah amat merbahaya dan tidak menentu. 

"Saya ingin nasihatkan semua rakyat Malaysia supaya mengelak berkunjung ke selatan Thailand.

"Situasi di sana agak merbahaya dan tidak menentu," tulisnya dalam Twitter.

Terdahulu, sekurang-kurangnya tiga maut manakala 36 lagi cedera susulan letupan bom kereta di daerah komersial di selatan Thailand.

Leftenan Kolonel Sophon Saisuree berkata bom kereta itu meletup di depan Hotel Holiday kira-kira pukul 4 petang (waktu tempatan). 

Letupan tersebut turut memusnahkan beberapa kenderaan lain dan merosakkan struktur bangunan. 

Sophon berkata, daripada 36 yang cedera, tiga dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Bagaimanapun, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan letupan bom kereta itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain