suria

MH17: Majlis Khas Doa Antara Agama Penuh Emosi

Sebahagian daripada kakitangan MAS yang hadir di majlis doa pelbagai agama untuk mangsa MH17 tidak dapat menahan perasaan ketika melihat gambar-gambar mangsa yang ditunjukkan di skrin sebelum majlis bermula. -foto THE STAR
PETALING JAYA:  Majlis khas bacaan doa antara agama bagi memperingati 298 mangsa tragedi MH17, malam Jumaat berlangsung penuh emosi.

Bertempat di Akademi Penerbangan Malaysia, Kelana Jaya, majlis anjuran MAS, syarikat penerbangan negara itu turut membabitkan upacara ritual pelbagai keagamaan lain.

Pengarah Bahagian Sumber Manusia MAS, Zaharah Zaid berkata, insiden MH17 adalah sesuatu yang mengejutkan dan MAS turut sama merasai kesedihan yang terpaksa ditanggung ahli keluarga, waris dan rakan mangsa nahas MH17.

"MAS ingin menyatakan rasa simpati dan merakamkan takziah kepada ahli keluarga, waris dan rakan-rakan mangsa yang telah terkorban dalam nahas MH17.

"Kami sedar mereka sedang melalui waktu mencabar dan ahli keluarga mangsa memerlukan sokonga, oleh itu kami turut merasai dengan apa yang mereka rasai," katanya ketika menyampaikan ucapan penutup majlis tersebut.

Hadir sama di majlis ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya.

 Liow Tiong Lai (tiga, kiri) dan Ahmad Jauhari  (dua, kanan) ketika hadir di majlis doa pelbagai agama untuk mangsa nahas MH17, Jumaat.

Selain itu, ia turut dihadiri beberapa ahli keluarga mangsa, kakitangan MAS, wakil-wakil kedutaan negara yang terlibat dalam kejadian itu.

Zaharah berkata, MAS akan berkerja 24 jam sehari untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada ahli keluarga mangsa di seluruh dunia.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa untuk mangsa dan krew MH17 yang beragama Islam, disusuli doa serta ritual untuk penganut agama Kristian, Sikh, Buddha, Tao dan Hindu.



Sepanjang upacara berlangsung, kelihatan  jemputan tidak dapat menahan sebak dan kesedihan ketika doa dibacakan.

Turut dilihat tidak dapat menahan perasaan ialah sekumpulan krew MAS yang mengalirkan air mata apabila gambar mangsa yang terkorban ditunjukkan di skrin sebelum majlis dimulakan.

Penerbangan MH17 yang sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di sempadan Ukraine-Rusia Khamis lalu, dipercayai ditembak jatuh.

Seramai 298 mangsa terkorban dalam kejadian itu dengan 43 daripadanya terdiri daripada rakyat Malaysia.



MH17, doa, Akademi MAS, ritual keagamaan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Elak Kunjungi Betong - KPN

Artikel Lain