suria

Pasukan Penyiasat Malaysia Serah Laporan Kepada Belanda

Pasukan Penyelamat Khas Malaysia (SMART) memindahkan mayat-mayat mangsa MH17 untuk tugasan forensik di Kharkiv, Ukraine. - fotoBERNAMA
KIEV: Pasukan penyiasat Malaysia mengenai pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di Torez, wilayah Donetsk, di timur Ukraine, telah mengemukakan laporannya kepada Belanda, yang mengetuai penyiasatan nahas itu.

Pengarah Kejuruteraan dan Penyenggaraan Malaysia Airlines (MAS) Azhari Mohd Dahlan, 53, seorang daripada tiga rakyat Malaysia, yang ditauliahkan menjalankan penyiasatan tentang kejadian itu di Torez, memberitahu Bernama: "Kini kami lega...Semua laporan penyiasatan telah diserah kepada Belanda kerana merekalah yang mengetuai siasatan."

Beliau berkata demikian sejurus tiba di Kiev, kira-kira 800 kilometer dari Torez, dengan kereta api pada Jumaat pagi.

Azhari bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang penyiasatan selama empat hari yang dilakukan beliau bersama dua lagi penyiasat Malaysia terdiri daripada penolong pengarah kanan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Kapt Philip Joseph Selvaraju, 42, juga bekas juruterbang, dan seorang lagi penolong pengarah kanan jabatan itu Mohd Naemy Fahmy Mustapa, 38. 

Pesawat Boeing 777-200 itu, yang membawa 298 orang - 283 penumpang dan 15 anak kapal - sedang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Walaupun media melaporkan pesawat itu ditembak jatuh, namun hingga kini tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab mengenainya.

Azhari dan kesemua 133 anggota pasukan khas Malaysia, yang diterajui Majlis Keselamatan Negara (MKN), dijadual berlepas ke Kuala Lumpur pada tengah hari Jumaat (waktu tempatan).

Sementara itu, menurut MKN, 60 lagi mayat mangsa tragedi MH17 akan diterbangkan ke Belanda. 

Hingga Khamis, 114 mayat telah diterbangkan ke sana, katanya.

Sebanyak empat koc peti sejuk digunakan bagi membawa 282 mayat mangsa kejadian itu dari Donetsk ke Kharkiv (Ukraine) pada Selasa untuk ditanda (tag), sebelum diangkut dengan pesawat ke Eindhoven, Belanda.
MH17, Belanda, Ukraine, MAS

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain