suria

Wanita Layak Jadi MB, Tapi Bukan Wan Azizah - Khairy

KUALA LUMPUR: Pandangan Peguam Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengenai wanita tidak boleh menjadi Menteri Besar terus menerima kritikan termasuk daripada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, Khairy menegaskan alasan bahawa wanita tidak boleh mengiringi sultan pada majlis keagamaan kerana keuzuran hanya perkara kecil.

"Itu pandangan peribadi beliau. Tapi bagi saya secara peribadi...tidak ada salah wanita menjadi Menteri Besar ataupun Perdana Menteri.

"Kalau bagi alasan tak boleh iringi sultan ke majlis keagamaan, itu bukan satu-satunya tugas Menteri Besar kerana tugas paling penting ialah untuk tadbir negeri," katanya di sini, Selasa.

Bagaimanapun tambah Khairy, semua wanita layak untuk dipilih ke jawatan nombor satu dalam kerajaan namun Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Islam bukanlah calon yang layak untuk mentadbir Selangor.

"Bagi saya wanita lebih daripada layak untuk menjadi Menteri Besar atau Perdana Menteri...cuma bukan wanita itulah. Tapi itu terpulang kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan asal Hafarizam bahawa Wan Azizah tidak sesuai menjadi Menteri Besar Selangor kerana wanita lazimnya mengalami uzur syarie atau haid.

Mohd Hafarizam dilaporkan berkata bahawa walaupun tiada halangan jantina di bawah Undang-Undang Tubuh Selangor, terdapat kebimbangan dalam memilih wanita sebagai Menteri Besar.

“Ini kerana seorang Menteri Besar wanita mengalami uzur syarie (haid), terdapat banyak halangan untuknya untuk mengiringi Sultan dalam acara keagamaan.

“Walaupun perkara bawah perlembagaan Selangor sebagai contoh tidak menghalang wanita daripada menjadi Menteri Besar, tetapi berdasarkan konvensyen, terdapat masalah ekoran keadaan itu,” demikian kata Mohd Hafarizam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain