suria

Pasport Hilang: Pemilik Cuai Kena Denda

EKSKLUSIF PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen bercadang mengenakan denda terhadap individu yang kehilangan pasport sebagai langkah menangani kes kehilangan dokumen itu yang mencatat 83,015 sejak 2010.

Ketika ini, jabatan itu mengenakan penalti dengan menangguhkan permohonan gantian pasport antara dua hingga lima tahun.

Timbalan Ketua Pengarah (Kawalan) Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi berkata, saranan itu akan dikaji secara terperinci terutama daripada segi proses permohonan gantian pasport Malaysia.

Katanya, tindakan itu bagi memberi kesedaran kepada pemilik pasport tempatan supaya menitikberatkan kepentingan dokumen pengenalan diri, termasuk kad pengenalan.

“Kita bercadang memperincikan pemeriksaan dan saringan bagi permohonan gantian pasport yang hilang.

“Kita juga mungkin mengkaji semula tahap denda yang akan dikenakan terhadap kes kehilangan pasport yang mana akan memperketatkan pengeluaran gantian pasport bagi kes kecuaian,” katanya kepada mStar Online dalam temuramah di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sini, baru-baru ini.

Punca 83,015 pasport Malaysia yang dilaporkan hilang antara 2010 hingga Mei tahun ini menunjukkan kecurian mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 29,700 kes, diikuti tidak ingat dimana menyimpannya (24,622 kes) dan tercicir dari beg atau poket sebanyak 14,414 kes.

Sakib Kusmi.

Faktor lain adalah simpan di tempat tidak selamat (7,098), hilang semasa berpindah rumah (4,374), tertinggal di dalam kenderaan awam (773) dan malapetaka atau bencana alam (593).

Sakib berkata, cadangan mengenakan denda untuk kes kehilangan pasport kali pertama juga mengambil kira punca dokumen itu hilang.

“Semua cadangan ini masih di peringkat awal sebelum diperbincangkan secara teliti untuk pelaksanaannya,” katanya.

Beliau menambah, perkara yang dipertimbangkan ini tidak akan menjejaskan proses pengeluaran pasport secara umum kerana hanya menumpukan permohonan gantian bagi pasport hilang sahaja.

Mengulas lanjut, kata Sakib, mengikut kategori kehilangan kali pertama, tiada penalti dikenakan untuk mendapatkan gantian pasport baharu.

“Keputusan penalti bergantung kepada punca dan kekerapan kehilangan. Contohnya, penalti penggantungan pengeluaran pasport dikenakan lima tahun kerana sudah tiga kali hilang berturut-turut dalam tempoh setahun.

“Bagaimanapun, mereka masih boleh membuat rayuan untuk memberi kelonggaran kepada penalti atas sebab tertentu seperti ke luar negara atas urusan perniagaan dan rawatan perubatan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penggantungan untuk menggantikan pasport yang hilang turut berlaku sekiranya pemiliknya didapati disenaraihitamkan oleh agensi tertentu yang menghalang mereka ke luar negara.

Katanya, penggantungan itu turut melibatkan permohonan pasport baharu sehingga mereka dikeluarkan daripada senarai hitam.

Artikel Lain