suria

OKU Disamun Pekerja Penghantar Makanan

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) mendakwa beliau disamun seorang pekerja restoran makanan segera yang datang ke rumahnya di Bandar Tasik Selatan, pada Selasa lepas.

Mohd Fadzli Fadhillah, 37, yang menghidap penyakit saraf ALS (amyotrophy lateral sclerosis) dan berkerusi roda, berkata beliau disamun lelaki itu ketika tinggal seorang diri di pangsapurinya di sini, pada 11 pagi.

"Saya cam lelaki itu...dia berpakaian seragam sebuah restoran makanan segera, pernah datang ke rumah saya untuk menghantar makanan yang saya pesan sebelum ini.

"Tiga hari selepas itu, iaitu pada hari kejadian, lelaki itu datang lagi ke rumah saya kononnya untuk menghantar makanan yang dipesan, padahal saya tidak memesannya," katanya.

Fadzli, yang juga bekas wartawan Bernama berkata lelaki itu terus meluru masuk ke rumahnya dan mengambil wang tunai RM100 yang beliau letak di atas meja.

Beliau percaya lelaki itu mungkin merancang untuk merompak rumahnya setelah memerhatikan keadaan rumah dan dirinya pada kunjungan kali pertama semasa menghantar pesanan makanan.

Fadzli membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan menggesa pihak restoran makanan segera mengambil tindakan terhadap pekerja berkenaan.

Katanya kejadian pada Selasa lepas adalah yang kedua berlaku kepadanya dalam tempoh seminggu setelah beberapa barangan berharga miliknya dilarikan seorang lelaki lain yang berpura-pura mahu menawarkan perkhidmatan mengemas rumah pada 11 Jun.

"Dalam kejadian pertama lelaki itu melarikan seutas jam tangan saya berharga ribuan ringgit, wang tunai RM800 dan pengecas telefon bimbit berjenama ketika memasuki rumah dengan tujuan kononnya untuk mengemas.

"Saya trauma dengan kejadian ini...Mereka mengambil kesempatan di atas keadaan saya...Pergerakan saya terbatas. Saya juga kesal dengan sikap masyarakat yang seolah-olah tidak prihatin dengan golongan seperti saya," katanya.

samun, OKU

Artikel Lain