suria

Muhyiddin Gesa Lebih Banyak Sekolah Tubuh Kelab Menjenayahkan Perang

Mary Yap Kain Ching.
PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa lebih banyak sekolah di negara ini menubuhkan Criminalise War Club (CWC) (kelab menjenayahkan perang) untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan pelajar bahawa perang itu ialah jenayah terhadap kemanusiaan.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan berkata para pelajar perlu diberi kesedaran bahawa sebagai pemimpin masa depan, mereka perlu berani dan aktif dalam memenuhi agenda menjenayahkan perang melalui kegiatan dan program yang bermakna untuk menggalakkan keamanan dan keharmonian dalam negara

"Peperangan mencabuli setiap hak seorang kanak-kanak seperti hak untuk bersama keluarga, hak kepada pendidikan, hak terhadap kesihatan, hak untuk dididik dan dilindungi. Kita bimbang bahawa jika peperangan tidak dianggap sebagai jenayah, lebih banyak kanak-kanak akan menjadi mangsa pada masa akan datang.

"Saya amat berharap lebih banyak sekolah akan melancarkan penubuhan CWC di seluruh negara," katanya dalam ucapan pelancaran CWC Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya di sini Jumaat.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.

Muhyiddin turut memberi penghargaan kepada pengasas dan Pengerusi CWC Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang menjayakan usaha mulia ini untuk melindungi para pelajar negara daripada peperangan, dengan penubuhan CWC.

Yang turut hadir ialah pemegang amanah Kuala Lumpur Foundation to Criminalise War, Tunku Datuk Dr Sofiah Jewa, dan Pengerusi Perdana Global Peace Foundation Tan Sri Norian Mai.

Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya menubuhkan CWC ketiga di negara ini. Dengan kebenaran Kementerian Pendidikan untuk menubuhkan CWC pada 19 Oktober 2012, CWC pertama dilancarkan di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban pada 11 April tahun lepas, diikuti dengan pelancaran kelab itu di Cempaka International School pada September.

CWC bertujuan untuk membina sebuah komuniti yang mempunyai pengetahuan mendalam, kesedaran dan pemahaman mengenai kesan peperangan, terutama terhadap wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, Siti Hasmah berkata pelajar sebagai pemimpin hari esok, perlu memahami sepenuhnya Piagam CWC bagi menyemarakkan lagi keamanan dan persahabatan baharu dengan semua, tanpa mengira kaum dan agama.

Beliau berkata Malaysia menikmati keamanan dan kestabilan yang membolehkan ia menjadi sebuah negara membangun. 

Bagaimanapun, pada masa sama, kanak-kanak tidak mengetahui impak konflik, bantahan dan rusuhan.

"Ini sebabnya mengapa kita mempunyai CWC, untuk mengajar mereka bahawa mereka perlu menjauhkan diri daripada peperangan dan pembunuhan dan konflik dalam sebarang bentuk.

"Saya gembira dengan penubuhan CWC di Sekolah Sultan Alam Shah kerana ia menunjukkan bahawa terdapat pihak yang memahami misi kita, apa yang kita cuba untuk capai dan mengapa pentingnya untuk mempunyai CWC di sekolah-sekolah di negara ini.

"Saya yakin bahawa Sekolah Sultan Alam Shah akan memainkan peranan utama bukan sahaja untuk mengerakkan sepenuhnya CWCnya sendiri tetapi membuka jalan bagi sekolah-sekolah lain mencontohinya," katanya.

Siti Hasmah juga mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin dan Kementerian Pendidikan yang membantu dalam menyusun sebuah buku panduan bagi tujuan menggerakkan kelab berkenaan.



Artikel Berikut

Artikel Lain