suria

Kemenangan Mah Bukti Kerjasama Mantap BN, Pengundi - Ku Nan

TELUK INTAN: Kemenangan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan menunjukkan kerjasama mantap Barisan Nasional (BN) dan pengundi.

Setiausaha BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua termasuk pengundi-pengundi di Teluk Intan serta jentera parti yang memberikan kerjasama bagi memastikan kemenangan Mah.

"Ini merupakan satu kerjasama yang amat mantap kerana BN adalah satu parti yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

"Bila kita berkempen, kita bergerak dengan satu nada. Kita mengucapkan syabas kepada semua pekerja-pekerja Barisan Nasional yang bertungkus lumus untuk memastikan kemenangan kepada Datuk Mah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pengumuman mengenai kemenangan Mah yang berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan di pusat penjumlahan undi di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib dekat sini, malam Sabtu.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, BN merupakan parti yang menepati janji.

"Setiap janji kita akan tepati dan kita akan pastikan wakil rakyat kita Datuk Mah akan melaksanakan tugasnya dengan amanah dan bertanggungjawab," katanya.

BN berjaya merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P.076 pada Sabtu dengan majoriti tipis 238 undi.

Calonnya, Datuk Mah Siew Keong, 53, memperoleh 20,157 undi, menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, yang mendapat 19,919 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus PRK Teluk Intan, Datuk Ibrahim Ahmad pada pukul 9.38 malam.

Kekosongan kerusi Parlimen Teluk Intan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng dari DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain