suria

Peratus Keluar Undi PRK Teluk Intan Lebih Rendah Berbanding PRU-13

TELUK INTAN: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan lebih rendah berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 Mei tahun lalu.

Beliau berkata, pilihan raya kecil kali ini mencatatkan sebanyak 66.67 peratus atau 40,236 pengundi yang keluar mengundi termasuk pengundi awal, biasa dan termasuk pengundi tidak hadir (pengundi luar negara).

"Jumlah peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil Teluk Intan lebih rendah berbanding PRU-13 sebanyak 80.7 peratus (48,839)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pusat penjumlahan undi dan pengumuman keputusan PRK Teluk Intan di Sekolah Menengah Kebangsaan Abdul Rahman Talib di sini, Sabtu.

Abdul Aziz berkata, jumlah peratusan keluar mengundi bagi Parlimen Teluk Intan merupakan yang kedua terendah bagi pilihan raya kecil selepas PRU-13, diikuti yang paling rendah pada PRK Bukit Gelugor pada 25 Mei lalu.

Menurutnya, PRK Kuala Besut mencatatkan peratusan keluar mengundi 80%, Sungai Limau (85 peratus), Kajang (72.1 peratus), Balingian (72 peratus) dan Bukit Gelugor (56 peratus).

Ditanya adakah beliau berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi pada PRK Teluk Intan, Abdul Aziz berkata, ia tidak memuaskan kerana tidak mencapai sasaran.

"Saya tidak gembira sebab sasaran sepatutnya tidak kurang dari 70 peratus atau lebih. Tapi ia kurang dari 70 peratus.

"Saya tidak tahu kenapa (punca). Cuaca hari ini baik, keadaan lalu lintas lancar. Saya tidak tahu kenapa dan kita akan mengkajinya," katanya.

PRK Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain