suria

Tiada Pelepasan Cukai Untuk Plat G1M

Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin
KUALA LUMPUR: Penggunaan nombor plat 'G1M' tidak akan mengecualikan pemilik kenderaan daripada cukai berkaitan, kata Pengendali Rasmi Plat Kenderaan G1M (Gagasan 1Malaysia) Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin.

Beliau berkata sebaliknya nombor plat itu hanya diwujudkan bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu menjayakan projek yang dijalankan oleh Kelab Eksplorasi 7 Benua Malaysia (KE7B) dalam melakar nama negara di peringkat antarabangsa.

"Antara projek yang telah dijalankan ialah Ekspedisi KE7B Selat Inggeris Everest Felda, Felda Greenland dan program amal lain," kata Muhammad Muqharabbin yang juga Presiden Ke7B kepada Bernama, di sini Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan akhbar tempatan hari ini berhubung satu sindiket mendaftarkan kereta mewah dengan plat G1M di Langkawi bagi mengelak cukai import, sebelum dibawa masuk ke Semenanjung. 

Mengulas lanjut, Muhamad Muqharabbin berkata G1M diperkenal pada Mei 2010 bertujuan mengumpul dana KE7B.

Hasil penjualan nombor plat G1M akan dimasukkan dalam dana kelab bagi membiayai projek yang dirancang, katanya.

Sementara itu, Muhammad Muqharabbin berkata rakyat boleh membeli nombor pendaftaran G1M pada harga serendah RM210 di kaunter KE7B yang akan dibuka di cawangan-cawangan tertentu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Jun ini.

"Ia boleh diperoleh secara terus mulai bulan depan atau menghubungi pejabat KE7B," katanya.

Sebelum ini nombor pendaftaran itu hanya dijual di JPJ Cawangan Wangsa Maju dan di pejabat KE7B.

Akhbar itu dalam laporannya mendedahkan kastam merampas 107 kereta mewah bernilai RM100 juta antaranya jenis Ferrari, Bentley, Rolls-Royce dan Porsche yang didaftar menggunakan nombor pendaftaran G1M bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain