suria

Naib Canselor USIM Dilantik KP Pendidikan Tinggi

NILAI: Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Prof Datuk Dr Asma Ismail, dilantik Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi yang baharu, mulai 2 Jun.

Pelantikan itu bagi menggantikan Prof Datuk Dr Morshidi Sirat yang bersara. 

Dengan pelantikan itu, Dr Asma mengakhiri tugas rasmi sebagai Naib Canselor USIM mulai esok (31 Mei).

Satu majlis ringkas penghargaan kepada beliau (Dr Asma) diadakan di USIM, petang Jumaat.

Ketika berucap pada majlis itu, Dr Asma melahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui Jabatan Pengajian Tinggi.

"Saya akan menggunakan segala pengalaman yang ada sebaiknya termasuk ketika bersama USIM untuk memacu transformasi pengajian tinggi negara ke tahap lebih cemerlang," katanya.

Dr Asma, anak kelahiran Jitra, Kedah ialah lulusan doktor falsafah Universiti Nevada dan sebelum itu memperoleh ijazah sarjana daripada Universiti Indiana, Amerika Syarikat. 
Beliau memulakan tugas sebagai naib canselor USIM pada 1 Disember 2012.