suria

Perompak Curah Petrol, Larikan RM60,000 Di George Town

ACP Mior Faridalatrash
GEORGE TOWN: Tiga perompak bertindak mencurah petrol dan mengugut mahu membakar sebuah bank di Jalan Sungai Dua di sini sebelum melarikan wang tunai kira-kira RM60,000.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata dua daripada suspek yang bertopi kaledar dan memakai penutup muka serta cermin mata hitam, meluru masuk ke dalam premis itu pada 2.45 petang.

"Seorang lagi suspek menunggu di luar. Mereka membawa minyak petrol berkenaan yang diisi dalam tiga plastik dan satu bekas air mineral sebelum mencurahnya di lantai hadapan dan belakang kaunter juruwang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketika kejadian terdapat 12 orang termasuk enam pelanggan yang sedang berurusan di kaunter dan suspek mengikat pintu dengan getah pengikat barang sejurus mereka masuk ke dalam bank berkenaan.

Beliau berkata seorang daripada perompak terbabit bersenjatakan parang, mengumpul semua pelanggan di satu sudut manakala seorang lagi memaksa kakitangan bank memasukkan wang ke dalam beg yang dibawa.

"Perompak terbabit mengambil masa antara tiga hingga empat minit sebelum melarikan diri dengan dua motosikal. Satu motosikal ke arah kanan, satu lagi arah kiri," katanya.

Mior Faridalatrash berkata pengawal keselamatan yang kemudiannya cuba mengejar suspek tergelincir dan terjatuh akibat lantai licin bagaimanapun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Beliau berkata polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup untuk siasatan lanjut dan percaya suspek adalah orang tempatan berdasarkan gaya percakapan mereka.

Saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta datang atau menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan, katanya.
petrol, perompak, bank

Artikel Lain